PENIAGA aksesori Josewin Singh yang lebih mesra disapa ‘Uncle Joe’ berkongsi pengalaman berkecimpung dalam dunia perniagaan sejak lebih 30 tahun yang lalu ketika bintang bola sepak Asia, Allahyarham Datuk Mohd Mokhtar Dahari masih beraksi bersama skuad kebangsaan.
Ketika itu, dia sempat mengimbau nostalgia semasa berniaga di Stadium Merdeka serta berkongsi bahawa jualan di perkarangan stadium tersebut lebih tinggi berbanding sekarang.
Mana tidaknya, keadaan negara yang berdepan dengan pandemik Covid-19 kini turut memberi kesan kepada perniagaan mereka.
“Saya jual baju, mafla, headband, topi khas untuk peminat. Saya dah 30 lebih tahun berniaga bermula dari Stadium Merdeka. Semua jenis ada, retro pun ada.
“Masa itu jualan di Selangor (Shah Alam) adalah lebih baik, sekarang bermain di Bukit Jalil, suasana agak berlainan.
“Selepas Covid, kita baru mula balik. Tiga tahun dah tidak meniaga, jadi baru ini, stadium penuh kali pertama selepas tiga tahun lebih suram,” kongsinya kepada FLASH SUKAN.
Sementara itu, dia berkongsi pandangan terhadap perlawanan malam ini dengan berharap Malaysia akan dapat mengutip tiga mata penuh malam ini.
Dia turut bersetuju dengan pemilihan pemain-pemain yang bakal diturunkan Kim Pan-gon malam ini.
“Saya harapkan tiga mata buat Malaysia, harap mereka berikan yang terbaik. JDT punya pemain pun ramai.
“Saya tahu Bangladesh pasukan yang semakin meningkat naik tetapi harap Malaysia dapat memberi aksi terbaik untuk menang,” tambahnya.
Misi wajib menang perlu dizahirkan anak buah Pan-gon memandangkan Palestin telah menyingkirkan Filipina dalam satu lagi aksi kumpulan meletakkan Malaysia hanya perlu menewaskan Bangladesh malam ini bagi menamatkan kemarau 43 tahun layak bertanding di pentas Piala Asia.