SELANGOR FC mengesahkan tiket ke perlawanan akhir MFL Challenge Cup 2024-25 selepas menundukkan Penang FC dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Ahad.
Gol tunggal perlawanan yang dijaringkan oleh Alvin Fortes pada minit ke-66 sudah cukup untuk memastikan kemenangan 1-0 buat skuad kendalian Kinoshi Katsuhito, sekali gus menempah pertemuan menentang penyandang juara, PDRM FC.
The Red Giants mara ke final dengan agregat 2-0 selepas turut meraih kemenangan 1-0 dalam separuh akhir pertama di Stadium Bandaraya pada 19 Januari lalu.
Kemenangan itu hadir menerusi jaringan sendiri kapten Penang FC, Rafael Vitor, yang secara tidak sengaja menampan hantaran lintang daripada Quentin Cheng ke gawang sendiri.
Terdahulu, skuad PDRM FC bimbingan P. Maniam menempah tempat ke final selepas menewaskan Kedah Darul Aman FC menerusi penentuan sepakan penalti 5-4 di Stadium Darul Aman.
Kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi separuh akhir kedua, menjadikan agregat keseluruhan 4-4 sebelum PDRM melakar kemenangan dramatik dalam penentuan penalti.
Perlawanan akhir MFL Challenge Cup bakal berlangsung secara timbal balik, dengan aksi pertama dijadualkan pada 15 Februari, manakala final kedua akan diadakan pada 22 Februari.
Selangor FC kini bersedia untuk menghadapi cabaran getir menentang PDRM FC dalam usaha untuk menjulang trofi berprestij ini.
FOTO : MFL