WALAUPUN telah mengesahkan tempat di final Piala Malaysia, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) diingatkan agar terus mengekalkan fokus bagi memastikan kejayaan dalam baki saingan musim ini.
Pengendali Harimau Selatan, Hector Bidoglio menegaskan bahawa prestasi cemerlang yang dipamerkan dalam aksi separuh akhir perlu diteruskan sekiranya pasukan ingin mencipta lebih banyak kejayaan.
“Separuh akhir kali ini memang mencabar, namun para pemain telah menunjukkan persembahan yang baik, dan saya berharap mereka dapat mengekalkan momentum ini.
“JDT adalah sebuah pasukan besar, dan setiap pemain perlu terus memberi tumpuan kepada peningkatan diri selain berkembang secara dinamik serta berintensiti tinggi,” katanya selepas perlawanan di Iskandar Puteri.
Bagaimanapun, Bidoglio mengakui pasukannya sempat berdepan detik mencemaskan apabila Terengganu FC (TFC) menggunakan taktikal serangan balas yang agresif, terutamanya pada babak kedua.
“Separuh akhir kali ini adalah perlawanan yang sukar, terutamanya di separuh masa kedua apabila kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan ke arah pintu gol lawan.
“Namun, falsafah pasukan ini adalah untuk terus mencipta kemenangan. Walaupun berdepan lawan yang memiliki barisan pemain berkualiti, kami akan terus bekerja keras dan berkembang untuk mencapai kejayaan,” jelasnya.
JDT mara ke final Piala Malaysia selepas menewaskan TFC dengan agregat 6-1, hasil kemenangan 2-1 dalam separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.
Sebelum itu, skuad kendalian Bidoglio mencatat kemenangan 4-0 dalam aksi pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 17 Januari lalu.
Foto : JST