SETELAH persaraan diumumkan Ratu Tenis Rusia, Maria Sharapova pada tahun 2020, kini atlet jelita tersebut memberi tumpuan yang lebih kepada bisnesnya dan juga anak lelaki pertamanya, Theodore.
Sejak bergelar ibu, Sharapova akui terpaksa menempuh pelbagai halangan terutama untuk melakukan senaman dan mengekalkan kecergasan.
Bintang berusia 35 tahun itu berkongsi proses kesukaran ketika ‘berbadan dua’ serta terpaksa berehat selama tiga bulan tanpa melakukan sebarang aktiviti fizikal.
“Saya menghabiskan tempoh tiga bulan mengandung Theodore, dalam satu fasa yang saya tidak boleh membuat banyak perkara. Saya tidak rasa badan saya tidak bersedia pada mulanya dan kerap berasa penat sehingga berjaya melahirkan Theodore.
“Selepas melahirkan anak, saya seperti mendapat suatu tenaga baharu. Ia memberi saya keyakinan untuk bermula perlahan-lahan.
“Pada mulanya, agak sukar untuk meregangkan otot tubuh dan hanya mampu melakukan senaman Pilates namun kini saya sudah mampu berjalan jarak jauh dan tidak lama lagi saya akan meneruskan latihan kardiovaskular,” ujarnya.

Maria Sharapova melancarkan produknya, Sugarpova, Kingdom of Sweets di London.
Dalam perkembangan lain, Sharapova turut giat dalam mempromosi bisnes sejak menjadi duta Evian dengan keluaran produk ‘Sugarpova’ pada Jun, 2019.
Malah, legenda tenis Rusia itu turut memperkenalkan ‘porch bag’ unik bagi tujuan penjualan yang diperbuat dari botol air mineral Evian yang dikutip semasa Kejohanan Tenis Terbuka New York tahun lalu.
Dia merupakan antara pemain yang sangat cemerlang semasa berada dalam eranya. Ikon tenis dunia itu berjaya merangkul lima gelaran Grand Slam serta merupakan pemain tenis wanita paling berjaya Rusia dengan pencapaian yang dihasilkannya sehingga kini.
Tahun 2020, episod malang Sharapova bermula apabila ditimpa deretan kecederaan menyebabkan dia gagal menampilkan persembahan terbaik setelah menyambung semula kariernya.
Kekangan tersebut menyebabkan Sharapova mengambil keputusan menggantung raket setelah mengalami tiga kekalahan berturut-tutut dalam pusingan awal beberapa kejohanan terbesar dunia.
Sejurus mengumumkan persaraan, atlet tinggi lampai itu menumpukan sepenuh perhatian kepada bisnes dan kehidupannya bersama keluarga.
Kisah cintanya turut mendapat liputan dunia apabila dia menjalinkan hubungan dengan ahli perniagaan British, Alexander Gilkes pada 2018 dan secara rasmi bertunang pada Disember 2021. Hasil pertunangan tersebut menghadirkan seorang cahaya mata lelaki bernama Theodore, Julai tahun ini.