Carlos Alcaraz mencuri tumpuan dunia tenis apabila menafikan impian Novak Djokovic untuk merangkul gelaran Grand Slam ke-25 selepas menewaskannya di pentas final Terbuka Australia yang penuh mendebarkan, hari ini.
Pemain muda Sepanyol itu bangkit selepas set pertama untuk mencatat kemenangan 2-6, 6-2, 6-3, 7-5 ke atas juara 10 kali di Melbourne Park berkenaan, sekali gus meraih kejuaraan sulungnya di bumi Australia dan muncul pemain lelaki termuda memenangi kesemua empat kejohanan Grand Slam.
Djokovic, yang kini berusia 38 tahun, mengakui kehebatan lawannya dan menyifatkan kejayaan Alcaraz sebagai pencapaian luar biasa dalam era moden tenis.
“Apa yang kamu lakukan adalah sesuatu yang bersejarah. Ia legenda,” kata Djokovic.
Biarpun kecewa gagal menambah koleksi kejuaraan utama, pemain Serbia itu tetap mempamerkan semangat kesukanan tinggi dengan turut mendoakan kejayaan Alcaraz pada masa depan.
“Saya mendoakan yang terbaik untuk karier kamu. Kamu masih muda dan mempunyai banyak masa, seperti diri sendiri.
“Saya pasti kita akan bertemu dengan lebih kerap di sepanjang 10 tahun akan datang… atau mungkin tidak,” katanya.
Pentas final berkenaan turut disaksikan legenda Sepanyol, Rafael Nadal, yang menerima penghormatan khas daripada Djokovic.