KEJOHANAN Floorball Remaja Kebangsaan 2022 kembali dianjurkan selepas dua tahun tidak diadakan ekoran penularan pandemik Covid-19 yang menjejaskan industri sukan seluruh dunia.

Edisi ketiga kejohanan itu menyaksikan penyertaan dari lima negeri iaitu Johor, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Perak itu bakal berlangsung di Dewan Serbaguna Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) Malaysia Cawangan Pagoh, Johor.

Pertandingan anjuran bersama Persatuan Floorball Negeri Johor dan UTHM dengan sokongan Persatuan Floorball Malaysia ini terbahagi kepada kategori lelaki dan perempuan yang akan berlangsung dari 27 hingga 30 Ogos 2022 dengan pemenang bakal membawa pulang trofi, medal kemenangan dan hadiah saguhati.

Ketua jurulatih pasukan Floorball Johor, Mohd Hafidz Zainalabidin berkata kejohanan ini amat penting dan akan digunakan sebagai pentas mencungkil lebih banyak bakat-bakat baharu untuk mewakili negara.

Dia juga mahu menjadikan kejohanan ini sebagai medan untuk mengembangkan dan memperkenalkan lagi sukan ini kepada umum terutama kepada para pelajar universiti.

“Pertandingan kali ini amat penting buat semua pemain remaja yang bertanding kerana ini adalah pentas untuk prestasi mereka dicungkil dan dinilai bagi persediaan skuad kebangsaan ke Sukan Sea 2023 di Kemboja nanti.

“Kami juga berharap untuk merancakkan kembali industri sukan Floorball setelah perkembangan sukan ini terhenti seketika selama dua tahun dan berharap agar kejohanan ini dihadiri oleh peminat sukan.

Mohd Hafidz Zainalabidin

“Persatuan Floorball Johor juga mahu sukan ini lebih dikenali dikalangan pelajar terutama di tempat berlangsungnya kejohanan ini untuk sama-sama mengenali dan mempelajari bagaimana sukan Floorball ini dimainkan,” katanya secara eksklusif kepada FLASH SUKAN.

Mohd Hafidz juga adalah pengurus pasukan Floorball Malaysia ketika temasya Sukan Sea 2015 di Singapura dan Sukan Sea 2019 di Filipina. Ketika di temasya Filipina, kedua-dua pasukan lelaki dan wanita berjaya membawa pulang pingat gangsa.

Floorball adalah sukan berpasukan dan dimainkan di gelanggang tertutup di atas permukaan yang licin bersaiz 40×20 meter dengan setiap pasukan mempunyai lima pemain dan seorang penjaga gol pada sesuatu masa di dalam gelanggang permainan.