KEJOHANAN CIMB KL Open Tennis Championship 2026 kembali mewarnai kalender sukan tanah air dengan penganjuran edisi kali ini yang dijangka berlangsung lebih meriah serta kompetitif.

Kejohanan yang diiktiraf sebagai antara saingan tenis terbesar di Malaysia itu akan berlangsung dari 28 Julai hingga 2 Ogos 2026 di Pusat Tenis Negara, Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur.

Sebagai sebahagian daripada Sirkit Kebangsaan anjuran Persatuan Lawn Tenis Malaysia (Tennis Malaysia), kejohanan ini dijangka menghimpunkan barisan pemain terbaik tempatan dan serantau dalam persaingan berprestij.

Edisi 2026 menawarkan lapan kategori pertandingan merangkumi perseorangan dan beregu lelaki, perseorangan dan beregu wanita, Masters Lelaki 35+ (perseorangan dan beregu) serta Veteran Lelaki 50+ (perseorangan dan beregu).

Penganjur menjangkakan sekurang-kurangnya 200 pemain akan mengambil bahagian dengan keseluruhan hadiah wang tunai terkumpul bernilai RM72,000, selain baucar tajaan daripada Fila Malaysia menanti para pemenang.

Kejohanan kali ini juga dijangka menarik penyertaan pemain dari negara Asia Tenggara termasuk Indonesia, Singapura dan Thailand, sekali gus meningkatkan lagi tahap persaingan.

Lebih menarik, kejohanan ini turut dilihat sebagai platform terbaik buat pemain tempatan melakukan persiapan menjelang temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 di Selangor.

Antara pemain yang dijangka menjadi tumpuan termasuk nama-nama seperti Imran Daniel Hazli, Darrshan Suresh Kumar dan Daania Daniella yang dijangka menerima cabaran sengit daripada pencabar serantau.

CIMB selaku penaja utama terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh pembangunan tenis tempatan menerusi sokongan terhadap bakat muda, pembangunan akar umbi serta gaya hidup sukan yang semakin berkembang di Malaysia.

Selain itu, kejohanan ini turut mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Geran Padanan Sukan (GPS) bagi memastikan kelancaran penganjuran.

Sokongan tambahan turut hadir daripada Fila Malaysia dan Heritage Physiotherapy and Rehab Centre, manakala Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bertindak sebagai rakan rasmi lokasi pertandingan.

Dunlop Sports Malaysia pula sekali lagi dilantik sebagai pembekal bola rasmi, manakala PCM Group menjadi rakan kenderaan rasmi kejohanan.

Dalam usaha memperluaskan pembangunan tenis di peringkat akar umbi, Persatuan Lawn Tenis Kuala Lumpur (Tennis KL) turut menganjurkan Kejohanan Tenis ShekhinahPR Junior Invitational Mixed Doubles sempena kejohanan ini.

Pertandingan khas itu disasarkan kepada pemain berusia 11 hingga 14 tahun sebagai platform awal untuk mencungkil dan mengembangkan bakat baharu tenis negara.

Inisiatif ini dilihat selari dengan usaha berterusan Tennis KL dalam memastikan pembangunan sukan tenis negara terus berkembang merentasi semua peringkat usia.