“KALAU pasukan perlukan, saya sedia.” Itu nada tenang namun penuh tanggungjawab dizahirkan pemain beregu campuran negara, Shevon Jemie Lai, menjelang kempen Piala Sudirman 2025 di Xiamen, China, bermula 27 April ini.
Meskipun sudah lama bergandingan dengan suaminya, Goh Soon Huat, Shevon terbuka untuk digandingkan dengan pasangan lain jika strategi pasukan memerlukannya, demi kepentingan skuad negara.
“Kalau pasukan minta kami berpisah, saya okey. Demi pasukan, kami sanggup. Ia juga peluang belajar benda baharu dan beri nafas segar,” katanya selepas perlawanan simulasi, sebagai persiapan skuad negara ke kempen Piala Sudirman 2025.
Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama Jepun, Perancis dan Australia, diperkuat barisan pemain utama seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani serta Pearly Tan-M Thinaah yang diharap mampu mencetus impak.
Shevon-Soon Huat yang menghuni ranking ketiga dunia, antara pemain paling berpengalaman dalam skuad, mengakui tekanan untuk menang sentiasa ada namun percaya kematangan dan pengalaman membantunya mengawal emosi ketika beraksi di gelanggang. “Saya dan Soon Huat dah lalui banyak perkara, kini lebih tahu cara imbangkan tekanan,” ujarnya.
Mengulas peranannya sebagai pemain senior, Shevon tidak menganggap dirinya sebagai ketua, kerana masih belajar, termasuk daripada pemain muda dalam pasukan.
Sementara itu, Shevon menganggap sesi simulasi pasukan sangat penting untuk membiasakan diri dengan suasana perlawanan berpasukan yang jauh berbeza berbanding kejohanan individu. Ia juga membantu menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan lain.
Selepas tersingkir di suku akhir edisi 2023, skuad negara kini mengidamkan keputusan lebih baik di Xiamen — dan Shevon nekad memberi aksi terbaik demi mengubah skrip lama.