DUNIA bola sepak serantau dikejutkan dengan pemergian tragis bekas kapten skuad kebangsaan Kemboja, Tes Sambath yang meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya di Phnom Penh pada malam Ahad.

Pemain berusia 25 tahun itu disahkan maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai berdekatan Kampung Karaeng, daerah Sak Sampov.

Tes Sambath, yang beraksi di posisi bek tengah, telah menjadi watak penting dalam pasukan Visakha FC sejak menyertai kelab itu pada Januari 2022. Sebelum itu, beliau turut menyandang lilitan kapten di kelab ternama Boeung Ket FC selain pernah memimpin pasukan kebangsaan Kemboja di pentas antarabangsa.

Keberanian, ketenangan dan kepimpinannya di atas padang menjadikan beliau antara pemain paling disegani di negaranya.

Berita pemergian beliau mencetuskan kesedihan mendalam bukan sahaja dalam kalangan ahli keluarga, tetapi juga seluruh komuniti bola sepak Kemboja.

Visakha FC dalam kenyataan rasmi meluahkan rasa terkejut dan hiba atas kehilangan salah seorang tonggak utama mereka yang dianggap sebagai lambang semangat bola sepak Kemboja.

“Atas nama pengurusan, kakitangan, dan semua pemain Visakha FC, kami amat sedih dan terkejut dengan berita pemergian Tes Sambath. Kami meratapi kehilangan seorang bakat penting dalam bola sepak Kemboja dan menyampaikan ucapan takziah tulus ikhlas kepada keluarganya,” menurut kenyataan itu.

Pemergian Sambath bukan sekadar kehilangan seorang pemain berbakat, tetapi juga satu kehilangan besar buat bola sepak Asia Tenggara yang sedang menyaksikan kebangkitan generasi muda. Namanya akan terus dikenang sebagai wira yang mengorbankan segalanya demi jersi negaranya.