SKUAD badminton negara mencuri perhatian apabila melantik dua kapten pasukan bagi kempen Piala Sudirman 2025, satu langkah luar biasa yang jelas mencerminkan perubahan pendekatan dalam kem negara.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky ketika mengumumkannya berkata, pemain perseorangan lelaki Leong Jun Hao dan pemain beregu wanita Pearly Tan diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab selaku kapten berdasarkan kewibawaan masing-masing memimpin pasukan.

“Pearly sebelum ini lebih kepada kerja di belakang tabir, tapi sekarang dia makin berani bersuara, berkongsi input dalam kumpulan. Jun Hao pula semakin matang dan mampu bantu kawal emosi rakan sepasukan. Jadi, mereka saling lengkap-melengkapi,” kata Rexy, ketika ditemui selepas perlawanan simulasi di ABM, Bukit Kiara.

Beliau menjelaskan, pemilihan dua kapten bukan sekadar simbolik, tetapi satu strategi yang membolehkan tanggungjawab diagih lebih seimbang, memandangkan pemain juga perlu fokus terhadap peranan masing-masing di gelanggang.

“Kalau satu orang tanggung semua, itu berat. Ini lebih realistik,” katanya.

Mengulas mengenai perlawanan simulasi sebelum skuad negara berlepas ke Xiamen, China Khamis ini, Rexy berkata, ia menjadi medan mengukur fokus, kestabilan mental dan taktikal pemain sebelum ke gelanggang sebenar.

“Apa yang kami mahu lihat bukan keputusan menang atau kalah, tapi bagaimana pemain mengendalikan tekanan, komunikasi dan adaptasi taktikal. Semua itu penting dalam format berpasukan seperti Piala Sudirman,” jelas Rexy yang juga bekas pemain legenda Indonesia.

Antara yang menjadi tumpuan sudah tentu pertembungan ‘panas’ dua gandingan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menentang Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, yang menyaksikan aksi penuh intensiti — seolah-olah sudah berada dalam pusingan kalah mati kejohanan sebenar.

Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama Jepun, Perancis dan Australia, dengan sasaran melepasi pencapaian suku akhir edisi 2023.