DATUK Azizulhasni Awang kembali mewarnai pentas trek antarabangsa buat kali pertama sejak Olimpik Paris apabila dijadual turun beraksi pada Piala Asia Trek di Suphanburi, Thailand bermula esok.
Pelumba berusia 37 tahun itu mengakui kejuaraan Kelas Satu UCI itu sekadar medan untuk mengukur tahap semasa dirinya, selepas setahun tidak berlatih secara spesifik di velodrom.
“Saya tidak berlatih di trek hampir setahun, hanya kayuhan santai, sebelum kembali menjalani program serius bersama skuad kebangsaan bulan lalu,” kata Azizulhasni.

Azizulhasni dan Shah Firdaus berbincang mengenai strategi ketika bersama-sama berlumba sebelum ini.
Bekas juara dunia keirin itu akan beraksi di bawah bendera pasukan profesionalnya, Team Azizul, selepas mengumumkan status pelumba pro pada April lalu.
Azizulhasni menegaskan penampilannya di Thailand hanya sekadar pemanas badan kerana sasaran sebenar adalah musim 2026 yang padat dengan Piala Negara di Perth, Sukan Komanwel Glasgow dan Sukan Asia Nagoya.
“Prestasi saya belum di tahap kemuncak, tetapi cukup untuk menilai perbandingan dengan pelumba negara lain,” tambahnya yang masih bersemangat memburu kecemerlangan.

Shah Firdaus dan Nurul Izzah Izzati tidak ke Thailand kerana fokus persiapan ke Kejohanan Dunia, Oktober depan.
Sementara itu, ketua jurulatih negara Harnizam Basri memaklumkan Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri tidak tersenarai di Thailand kerana fokus ke Kejohanan Dunia di Santiago, Oktober depan.
Sebaliknya, cabaran negara akan digalas Ridwan Sahrom, Fadhil Zonis dan Akmal Jusena bagi acara lelaki manakala trio wanita, Anis Amira Rosidi, Aliana Azizan dan Alyssa Farid menjadi taruhan menghadapi saingan kali ini.