KUTIPAN tiga mata yang digapai skuad bola sepak Bawah 23 (B-23) negara ke atas Laos memberikan impak positif dalam meniti peluang ke separuh akhir Sukan SEA 2021.
Jurulatihnya, Brad Maloney cukup berpuas hati kemenangan kedua dilakar pemain dan kini mendahului Kumpulan B dan meraih enam mata.
“Sudah tentu kami berpuas hati dengan tiga mata ini. Laos tidak memberi laluan mudah dan mereka memiliki beberapa pemain berkualiti tetapi ia baik untuk kami untuk melangkah setapak lagi ke hadapan dalam kejohanan ini dan kami berjaya mendapat keputusan yang diperlukan,” katanya selepas perlawanan di Stadium Thien Truong, Nam Dinh pada Rabu.
Penyerang muda KV Kortrijk Luqman Hakim Shamsudin menjaringkan dua gol masing-masing pada minit ke-36 dan ke-67 sementara satu gol lagi dijaringkan Muhamad Syahir Bashah pada minit ke-43.
Laos memperoleh gol sagu hati pada minit ke-85 menerusi pemain gantian Visith Bounpaserth.
Malaysia terus mencari peluang memastikan satu tempat ke separuh akhir apabila bertemu Singapura, Sabtu ini dan mengakhiri perlawanan kumpulan bertemu Kemboja pada 16 Mei.
Kedua-dua perlawanan dijadualkan berlangsung di venue sama.