Tottenham Hotspur berjaya mengelakkan penyingkiran daripada Premier League selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Everton FC dalam aksi terakhir musim di Stadium Tottenham Hotspur, malam tadi.

Jaringan tunggal oleh Joao Palhinha pada penghujung babak pertama sudah cukup untuk memastikan Spurs kekal beraksi dalam saingan liga utama England buat musim depan.

Keputusan itu menyaksikan Tottenham menamatkan kempen di tangga ke-17 dengan 41 mata, dua mata mengatasi West Ham United yang tersingkir meskipun meraih kemenangan 3-0 ke atas Leeds United.

Spurs sebenarnya hanya memerlukan keputusan seri untuk terus kekal, namun tekanan memuncak memandangkan kekalahan di laman sendiri boleh menghantar mereka ke divisyen bawahan buat kali pertama sejak 1977.

Pasukan tuan rumah akhirnya menarik nafas lega apabila Palhinha meledak gol penting pada minit ke-43 untuk memecah kebuntuan perlawanan.

Kebangkitan Tottenham pada penghujung musim turut dikaitkan dengan kehadiran pengurus baharu, Roberto De Zerbi yang mengambil alih pasukan ketika mereka berada dalam situasi genting kira-kira sebulan lalu.

Selepas mengharungi lebih 10 minit masa kecederaan yang mendebarkan, wisel penamat akhirnya disambut penuh kelegaan oleh pemain dan penyokong Spurs yang meraikan kejayaan mengelak penyingkiran dalam musim yang cukup mencabar.

Sumber Gambar: FB Spurs