KERAGUAN yang bersarang dalam diri membelenggu Goh Soon Huat-Shevon Lai sehingga melakukan banyak ‘unforced error’ seihngga terpaksa akur tersingkir di pusingan kedua Terbuka Malaysia 2024.
Nampaknya gandingan beregu campuran profesional negara itu, terpaksa mengharungi kesukaran dalam memburu slot ke Sukan Olimpik Paris dan perlu mendapatkan keputusan lebih baik di Terbuka India, minggu hadapan.
Berdepan Deechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand, gandingan negara yang juga pasangan suami isteri itu tunduk 14-21, 12-21 dalam tempoh 39 minit.
“Sebenarnya corak kami sama, kami juga saling mengenali corak permainan masing-masing kerana beberapa kalai menjalani latihan bersama sebelum ini.
“Cuma hari ini, kami gagal mengikut kelajuan pasangan Thailand, malah apabila bermain rali, kami mula melakukan kesilapan,” kata Shevon, selepas tamat perlawanan.
Tambahnya, pada set kedua pula, dia merancang terlalu banyak sehingga pemikirannya berkecamuk dan keliru.
“Sebab itu datang ragu-ragu dan saya tidak dapat implemen pukulan-pukulan yang mahu saya lakukan, dan tidak menjadi.”
Pada edisi tahun lalu, Soon Huat-Shevon juga kandas di pusingan kedua, selepas disingkir gandingan China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong.