TAEKWONDO Malaysia terus komited memajukan sukan ini serta memperkukuh kehadiran atlet dan pegawai Taekwondo Malaysia di arena antarabangsa.
Malah, Taekwondo Malaysia muncul sebagai satu-satunya badan induk untuk sistem World Taekwondo (WT) di Malaysia yang diberi kepercayaan untuk mewakili Malaysia dalam pertandingan WT di seluruh dunia.
Bagi tujuan itu, Taekwondo Malaysia telah menjalankan sesi penilaian semula dan pengenalan menyeluruh untuk atlet dan pegawai daripada Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA) dan Kukkiwon Malaysia pada 4 Januari 2025.
“Proses ini menjadi langkah utama dalam usaha kami memupuk keterangkuman dan kerjasama dengan secara rasmi mengalu-alukan mereka ke dalam keluarga Taekwondo Malaysia.
“Kami menjemput semua organisasi Taekwondo untuk bersatu di bawah visi bersama: melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2028 dan meraih pingat Olimpik menjelang 2032,” menurut kenyataan yang diedarkan pada Sabtu.
Taekwondo Malaysia turut mengumumkan kejayaan meraih hak untuk menganjurkan lima kejohanan utama Taekwondo Asia di Sarawak pada 2025.
Dengan sokongan penuh daripada kerajaan Sarawak, acara berprestij ini akan berlangsung di Kuching, Sarawak, dari 25 hingga 31 Julai 2025.
Kejohanan ini akan menjadi platform utama untuk Malaysia memperkukuh kedudukan sebagai tuan rumah acara Taekwondo bertaraf dunia, di samping meningkatkan kemahiran atlet dan mempersiapkan mereka untuk pertandingan antarabangsa di masa hadapan.
Pada 2024, Taekwondo Malaysia telah memperkenalkan dua disiplin baharu iaitu Para Taekwondo dan Taekwondo Maya.
“Program Para Taekwondo bermula dengan kategori K44, di mana empat atlet telah dikenalpasti dan sedang menjalani latihan sepenuh masa di bawah program Pelapis bersama MSN.
“Pada 2025, kami teruja untuk menggabungkan semua empat disiplin—Kyorugi, Poomsae, Para Taekwondo, dan Taekwondo Maya—dalam Kejohanan Kebangsaan yang akan berlangsung dari 17 hingga 19 Januari 2025 di Wisma OCM, Kuala Lumpur,” katanya lagi.