KELAB BRI Liga 1 2024/2025, Malut United FC menjadi destinasi terbaru bekas pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Sony Norde dalam mengembangkan karier pemain bola sepak.
Pengesahan kehadiran Norde dibuat oleh Malut United menerusi laman media sosial Instagram kelab tersebut.
Selain Sony Norde, Malut United turut menandatangani seorang lagi pemain import, Jonathan Bustos, yang berasal dari Argentina.
“Inilah keluarga baharu anda. Jonathan Bustos dan Sony Norde,” tulis Malut United secara ringkas di Instagram mereka.
Sebelum ini, Sony Norde merupakan tonggak utama dan kapten pasukan Sang Kenari, yang kini sedang berdepan isu gaji tertunggak yang belum menemui titik noktah.
Menariknya, Sony Norde pernah beraksi bersama dua bintang bola sepak dunia, Nicolas Anelka pada tahun 2015 dan Diego Forlan pada tahun 2016 ketika mereka bermain untuk kelab India, Mumbai City FC.
Buat masa ini, Malut United hanya mengikat kontrak dengan Sony Norde selama setengah musim, sehingga tamatnya saingan BRI Liga 1 2024/2025. Walau bagaimanapun, kontrak tersebut turut menyertakan pilihan untuk melanjutkan tempoh perjanjian.