TEMPOH rehat singkat selama tiga hari, bercuti bersama keluarga diharap cukup buat Aaron Chia ‘reset’ segala kekusutan yang membelenggu prestasinya sepanjang 2023.

Menurut pemain beregu lelaki nombor empat dunia itu, jurulatih memberi cuti tiga hari di saat akhir tetap digunakan sebaiknya merancang percutian singkat.

“Saya bercuti bersama keluarga, rancangan saat akhir ke Hong Kong, tapi saya sudah lupa lokasi-lokasi yang kami lawati,” kata Aaron sambil tertawa, selepas menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Aaron Chia gunakan sebaiknya rehat tiga hari diberikan pada Krismas lalu, bercuti ke Hong Kong bersama keluarga.

Menurutnya, tempoh rehat walaupun singkat, cukup untuk memberi aura baharu yang segar buatnya sebaik kembali menjalani latihan.

“Rehat ini saya tak katakan satu kemestian tetapi perlu ada juga. Sudah tentu penting selepas selama setahun bermain menyertai kejohanan berturut-turut, kadang-kadang rehat dari gelanggang baik juga untuk pemain.”

Selepas sepanjang tahun menyertai kejohanan berturut-turut, Aaron Chia anggap tempoh rehat bersama keluarga peluang terbaik untuk dia ‘reset’ minda.

Justeru, segar dari percutian bersama anak isterinya, Aaron berharap dia bersama gandingan Soh Wooi Yik mampu membuka lembaran baharu 2024, dengan prestasi cemerlang di Terbuka Malaysia yang akan berlangsung minggu depan.

“Memang kita pun harap jelajah pertama untuk tahun ini boleh bermula dengan baik kerana ia sangat penting disebabkan beraksi di hadapan peminat sendiri,” katanya.

Pemain kelahiran Melaka itu berkata, saingan Terbuka Malaysia dijangka lebih mencabar selepas hanya tinggal beberapa bulan untuk pemain mencari mata kelayakan Sukan Olimpik Paris.

“Saya rasa mungkin sebab tinggal beberapa bulan lagi untuk semua pemain berusaha bersungguh-sungguh bagi kelayakan Olimpik. Jadi semua pemain akan memberikan segala-galanya yang mereka ada.”

Aaron bagaimanapun kekal dengan pendirian enggan berkongsi sasaran setiap kali menyertai kejohanan : “Hendak cakap banyak tak boleh nanti orang komen sentiasa mahukan nombor satu dan hanya cakap sahaja, itu yang saya tidak suka cakap sasaran.

“Biar prestasi di dalam gelanggang yang tolong jawab perkara ini.”

Gandingan utama negara itu, akan berdepan Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard dari Denmark di pusingan pertama nanti dan pertemuan itu adalah yang pertama buat dua gandingan terbabit.

Berdasarkan rekod, pada tahun lalu Aaron-Wooi Yik menamatkan saingan Terbuka Malaysia di pusingan kedua selepas tewas di tangan beregu China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi 10-21, 21-23.

Juara Kejohanan Dunia pada 2022 itu meraih pencapaian terbaiknya di Terbuka Malaysia pada kempen 2022 dengan berada di separuh akhir sebelum tewas di tangan beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-23, 9-21.

Selepas kenangan bermakna muncul juara dunia tahun 2022, pada 2023 Aaron-Wooi Yik ‘unlock’ satu lagi pencapaian dengan memenangi gelaran kejohanan Jelajah Dunia pertama mereka di Terbuka Denmark lalu.