JURULATIH Perak FC, Yusri Che Lah, meluahkan rasa kecewa selepas pasukannya tewas 2-1 kepada Selangor FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Manjung pada Selasa.

Menurutnya, walaupun para pemain telah berusaha keras, kelalaian sendiri sekali lagi menjadi punca pasukan dihukum oleh lawan.

“Kami syukur kepada Allah SWT atas segala ketentuan-Nya. Namun, malam ini kami dihukum akibat kelalaian sendiri. Sebelum perlawanan, saya sudah tegaskan bahawa menentang pasukan berpengalaman seperti Selangor, setiap kesilapan akan dibayar dengan harga yang mahal. Itu yang berlaku malam ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Yusri turut memuji semangat juang para pemainnya yang mempamerkan aksi terbaik sepanjang 90 minit perlawanan. Dia secara khusus menyanjung usaha Wan Zack Haikal dan pemain-pemain lain yang memberikan komitmen sepenuhnya di atas padang.

“Keikhlasan mereka terserlah malam ini. Mereka berlari tanpa henti sepanjang perlawanan. Namun, kami gagal sekurang-kurangnya membawa satu mata. Ada kekurangan yang perlu kami perbaiki, dan kami akan bekerja lebih keras menjelang perlawanan Piala Malaysia minggu depan,” ujarnya lagi.

Wan Zack Haikal pamer permainan memukau termasuk menjaringkan gol tunggal The Bos Gaurus.

Menyentuh isu pemain, Yusri mengakui bahawa pasukan kini menghadapi cabaran besar dengan bilangan pemain yang semakin berkurangan.

“Selepas perlawanan menentang Pahang, kami mungkin kehilangan lebih ramai pemain kerana kontrak mereka tamat Disember ini. Ketika ini, kami hanya mempunyai 21 pemain.

“Dengan kecederaan dan penggantungan, situasi semakin mencabar. Pemain muda seperti Farris Izdiham dan Daniel Hakimi telah diberikan peluang, tetapi pengalaman mereka masih terbatas untuk menghadapi perlawanan besar,” jelasnya.

Yusri turut mengakui bahawa tekanan daripada peminat untuk melihat keputusan positif adalah sesuatu yang difahami, namun meminta agar penyokong terus bersabar.

“Saya yakin pasukan akan bangkit selepas ini,” katanya penuh harapan.

Kesebelasan utama Perak FC yang beraksi di Manjung, malam tadi.

Dengan jadual perlawanan yang padat, Yusri merancang untuk memperbaiki beberapa kelemahan menjelang pertemuan menentang Sri Pahang FC.

“Saya berharap pemain-pemain yang cedera seperti Sunday Afolaby dan Lucho dapat pulih sepenuhnya. Namun, situasi Lucho agak kritikal kerana dia juga sedang menanti kehadiran cahaya mata pada 20 haribulan ini. Kita akan lihat sama ada dia dapat bermain menentang Pahang,” katanya.

The Bos Gaurus yang mengalami dua kekalahan berturut-turut di halaman sendiri akan meneruskan cabaran dalam saingan suku akhir kedua Piala Malaysia di Temerloh Ahad ini.

FOTO : PERAK FC