DI sebalik persiapan rapi menghadapi Kejohanan FIH Piala Negara-Negara 2024-25, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Dato’ Najmi Razak tampil memberi peringatan tegas buat barisan pemain muda negara kerja keras yang dirasakan cukup sebenarnya masih belum memadai jika mahu bersaing di pentas antarabangsa.

Menurut Dato’ Najmi, ramai pemain muda sering merasakan bahawa komitmen dan dedikasi mereka sudah cukup tinggi, namun hakikatnya pemain dari negara luar jauh lebih bekerja keras dalam pelbagai aspek termasuk fizikal, pemikiran dan kematangan permainan.

Justeru, beliau menasihatkan agar pemain muda tidak cepat berpuas hati dengan pencapaian dan usaha semasa.

Malaysia kini menghuni ranking ke-13 dunia dan beraksi dalam Kumpulan B bersama New Zealand, Pakistan dan Jepun. Dengan sasaran mara ke separuh akhir kejohanan, aspek mentaliti dan tahap usaha pemain akan menjadi pemisah utama antara kejayaan dan kegagalan. Foto FIH

“Kalau rasa dah cukup kerja keras, sebenarnya anda perlu bekerja tiga kali lebih kuat. Jangan cepat selesa dengan pengorbanan yang telah dilakukan. Negara lain dah jauh ke depan dalam pelbagai sudut,” ujarnya dalam nada serius ketika sidang media di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Pesanan ini hadir pada ketika pasukan negara sedang giat menjalani persiapan menjelang aksi sulung menentang Pakistan pada 15 Jun ini. Dalam situasi penuh persaingan, mesej Dato’ Najmi itu jelas bertujuan menyuntik kesedaran serta membakar semangat juang dalam kalangan pemain muda untuk terus melonjakkan standard permainan mereka.

Apa yang pasti, dalam dunia hoki yang semakin kompetitif, hanya pemain yang sanggup melangkaui batas keselesaan dan bekerja lebih keras daripada yang lain bakal kekal relevan dan mengangkat martabat pasukan di pentas dunia.