KAPTEN Malaysia B-23, Ubaidullah Shamsul, meluahkan rasa kecewa selepas skuad muda negara gagal menempah tiket ke Piala Asia B-23 2026 apabila tunduk kepada Thailand, Selasa lalu. Menurutnya, antara punca utama kegagalan itu ialah kedalaman skuad yang masih belum cukup baik untuk bersaing dengan pasukan gergasi serantau.

“Saya rasa squad depth kita tidak cukup bagus. Jurulatih pun tiada banyak pilihan untuk buat keputusan. Pool pemain kita pun tidak cukup baik,” katanya ketika ditemui di KLIA 1, semalam.

Ubaidullah menjelaskan bahawa kebanyakan pemain Malaysia B-23 jarang mendapat peluang beraksi bersama pasukan utama di kelab masing-masing, berbeza dengan Thailand yang rata-ratanya turun sebagai tonggak utama dengan nilai pasaran tinggi.

Kapten berusia 21 tahun itu turut mengakui perasaan malu kerana gagal membantu skuad negara melepasi peringkat kelayakan. “Saya sedikit kecewa dan malu. Kita main baik, tapi kalau tak dapat keputusan, ia tetap tidak memberi apa-apa manfaat,” ujarnya.

Menceritakan suasana bilik persalinan sejurus tamat perlawanan, Ubaidullah berkata ramai rakan sepasukan yang tidak dapat menahan emosi. “Ada yang menangis, ada yang hanya diam. Kita semua cuba yang terbaik, tapi akhirnya kita kena terima ketentuan Tuhan,” katanya.

Walaupun kecewa, beliau tetap percaya ada peningkatan positif dari segi permainan dan taktikal di bawah kendalian Nafuzi Zain. Katanya, pengalaman menentang pasukan seperti Thailand dan Lubnan akan menjadi bekalan penting menuju cabaran Sukan SEA hujung tahun ini.

“Tekanan tetap ada, bukan hanya pada pemain tapi juga staf kejurulatihan. Untuk kembalikan maruah, kita mesti bawa sesuatu dari Sukan SEA nanti. Walaupun sukar, kalau ada impian dan tekad, insya-Allah kita boleh buat kejutan,” tambahnya.