KELIBAT Akmal Rizal Ahmad Rakhli kembali mewarnai pentas bola sepak tanah air apabila diumumkan secara rasmi sebagai penolong ketua jurulatih baharu Kelantan The Real Warriors (TRW) FC.

Pengumuman yang dibuat pihak pengurusan kelab pada petang Khamis itu sekali gus mengesahkan spekulasi awal yang mengaitkan bekas penyerang kebangsaan itu dengan pasukan Liga Super berkenaan.

Biarpun di atas kertas selaku penolong ketua jurulatih, Akmal telah mengendalikan tiga sesi latihan pasukan sejak E Elavarasan direhatkan pada 6 Oktober lalu. Difahamkan pengurusan TRW akan menamakan Akmal selaku pengendali utama pasukan selepas selesai urusan penamatan kontrak dengan Elavarasan.
Namun, tugas yang menanti bukanlah mudah.

Selepas tujuh perlawanan, TRW hanya mencatat dua kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan, sekaligus berada di tangga ketujuh liga dengan lapan mata. Akmal sedar tekanan yang bakal dihadapi, lebih-lebih lagi apabila dibandingkan dengan pencapaian jurulatih terdahulu.

“Tekanan adalah sebahagian daripada permainan. Saya tidak takutkannya. Sebaliknya, ia menjadi pembakar semangat buat saya,” ujar Akmal dengan tenang. Beliau juga mengakui bahawa harapan peminat Kelantan sentiasa tinggi, namun sokongan padu yang diterima daripada mereka amat dihargai dan menjadi kekuatan utama dalam misi kebangkitan pasukan.

Berbekalkan pengalaman membimbing Penang FC sebelum ini, Akmal mahu menerapkan segala ilmu dan pembelajaran musim lalu untuk membina sebuah pasukan TRW yang lebih mantap. Fokusnya kini adalah untuk mengembalikan kegemilangan bolasepak Kelantan.

“Saya melihat barisan pemain TRW cukup seimbang. Kita ada tonggak tempatan berpengalaman seperti Azam Azih, Azuan Aripin dan Sean Selveraj. Bersama pemain import yang sedia ada, saya yakin kita mampu membentuk pasukan yang kompetitif,” jelas Akmal penuh keyakinan.

Bagaimanapun, Akmal mengakui bahawa masih ada kerja besar yang perlu dilakukan, terutamanya dalam mencari kombinasi terbaik antara pemain tempatan dan import. Baginya, aspek keserasian adalah kunci utama untuk mengubah nasib pasukan dalam baki saingan musim ini.

Dengan semangat baru dan harapan menggunung, seluruh penyokong TRW menantikan magis Akmal Rizal untuk membawa Kelantan kembali mencabar kejuaraan di kancah bolasepak tempatan.