DUNIA permotoran negara kehilangan seorang ikon besar apabila bekas pelumba motosikal, Elly Idzlianizar Elias, meninggal dunia pada usia 40 tahun semalam.

Perkhabaran ini mengejutkan peminat sukan permotoran tempatan yang mengenali Allahyarham sebagai antara pelumba paling berbakat di Malaysia.

Elly Idzlianizar yang pernah memenangi banyak perlumbaan tempatan melalui Cub Prix, mencipta nama bersama pasukan gergasi seperti Yamaha, Honda, dan Suzuki.

Beliau juga diberi penghormatan untuk mewakili negara sebagai pelumba wildcard dalam Kejuaraan Dunia GP 125cc pada tahun 2009, bersama Zulfahmi Khairudin.

Pada tahun 2012, beliau terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan kecederaan serius pada tulang belakangnya, memaksanya berehat panjang sebelum akhirnya mengambil keputusan untuk bersara pada tahun 2017.

Sejak itu, beliau memberi fokus kepada perniagaannya di kampung halaman di Kangar, Perlis, selain aktif sebagai pengulas perlumbaan Cub Prix.

Buku autobiografi bertajuk Evolusi Elly: Daripada Rempit kepada Juara, yang diterbitkan pada tahun 2010.

Peminat sukan permotoran tempatan turut mengenang Elly sebagai seorang yang rendah hati dan komited, selain pernah berkongsi kisah hidupnya dalam sebuah buku autobiografi bertajuk Evolusi Elly: Daripada Rempit kepada Juara, yang diterbitkan pada tahun 2010.

Adiknya, Elly Idzliaikmal, berkongsi berita sedih itu di media sosial dengan ucapan penuh emosi, “Selamat jalan abang ku #16. Semoga tenang di negeri abadi abang sayangku. Moga ditempatkan di syurga. Tunggu kami di sana abang.”

Jenazah Allahyarham kini berada di Hospital Alor Setar, Kedah untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematian.

Pemergian Elly meninggalkan legasi besar dalam dunia perlumbaan tempatan, dengan sumbangan dan pencapaiannya yang akan terus dikenang peminat sukan permotoran tanah air.