SKUAD petanque negara memasang tekad besar mempertahankan aura Phnom Penh apabila bakal hadir ke Sukan SEA Thailand dengan misi wajib membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat emas.

Malaysia merekodkan satu emas, satu perak dan tiga gangsa di Kemboja dua tahun lalu mahu mengulangi kekuatan sama sambil memburu podium dalam separuh daripada 11 acara dipertandingkan.

Pemangku Presiden Persekutuan Sukan Boules Malaysia (MBSF), Cheah Ban Cheng menegaskan keyakinan kali ini bukan cakap kosong, sebaliknya hasil persiapan rapi dan sokongan padu MSN yang menggerakkan momentum pasukan.

Pemangku Presiden MBSF, Cheah Ban Cheng yakin skuad petanque mampu mencipta kejutan di Bangkok.

Namun beliau enggan mendedahkan ‘senjata rahsia’ negara dengan menegaskan taktikal dan kombinasi atlet perlu dirahsiakan agar tidak dibaca pencabar serantau.

“Sasaran ada, emas tetap ada, tapi kami tak boleh umumkan siapa atau acara mana kerana petanque juga permainan strategi,” katanya pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada skuad petanque di Wisma MOM.

Ban Cheng berkata bengkel penetapan sasaran bersama MSN menetapkan empat pingat keseluruhan, namun beliau percaya satu emas berada dalam genggaman jika semua berjalan ikut perancangan.

Beliau mengingatkan realiti sukan memerlukan kejujuran, jauh daripada janji manis melampau yang hanya menekan atlet dan memusnahkan fokus mereka.

Pada Temasya Phnom Penh, skuad petanque negara memenangi pingat emas menerusi perseorangan lelaki, pingat perak dalam triplet campuran 2 wanita 1 lelaki, dan tiga gangsa: triplet campuran 2 lelaki 1 wanita, perseorangan wanita dan beregu lelaki.