KELANTAN Darul Naim FC (KDN FC) mengesahkan telah menghantar permohonan rasmi kepada Malaysian Football League (MFL) untuk menggunakan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sebagai venue tuan rumah bagi perlawanan Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 22 September 2024 ini.
Presiden KDN FC, Rozi Muhamad berkata, langkah tersebut diambil selepas mendapat persetujuan bersama dengan pihak JDT.
Perubahan venue ini diputuskan susulan proses naik taraf yang sedang dijalankan di Stadium Sultan Muhammad IV, yang dijangka selesai pertengahan Oktober nanti.
“Stadium Sultan Muhammad IV terpaksa ditutup buat sementara waktu bagi proses naik taraf jadi kami memohon agar venue perlawanan Liga Super dengan JDT diubah ke SSI.
“Bagi pihak KDN FC, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana memberikan kebenaran dan hak kepada kami untuk menjadi tuan rumah di SSI,” kata Rozi yang dipetik daripada akaun rasmi Kelantan_Unitedfc.
Menurut beliau lagi, pihak KDN FC masih menunggu keputusan rasmi daripada MFL berkenaan perubahan venue ini.
“Bagaimanapun ketika ini pihak kami masih menunggu kebenaran daripada MFL berkenaan perubahan venue ke SSI.
“Ini juga dibuat memandangkan perlawanan seterusnya KDN FC adalah menentang Negeri Sembilan FC di Paroi pada 27 September ini.
“Oleh kerana lokasi kedua-dua venue berada berdekatan, KDN FC bersetuju mengalihkan perlawanan ke SSI kerana dapat menjimatkan kos pengurusan.
“Kami sedar bahawa permohonan ini adalah di luar kebiasaan namun kami berharap MFL dapat mempertimbangkannya dengan mengambil kira masalah penutupan venue KDN FC,” ujarnya lagi.
Sementara itu, KDN FC mengumumkan mereka telah mendaftar seorang lagi pemain import di posisi serangan dan KDN FC II juga akan turut membawa masuk seorang pemain tempatan untuk buat masa terdekat jika tiada sebarang masalah yang berlaku.