KEJOHANAN Laola Cup 2024 yang berlangsung di Hamburg, Jerman dari 23 hingga 25 Julai menyaksikan satu kejayaan luar biasa dari pasukan Sekolah Sukan Negeri (SSN) Kedah.
Dalam penyertaan sulung mereka, pasukan ini berjaya menjuarai Laola Cup dengan mengalahkan 12 negara yang turut serta dalam pertandingan tersebut.
Anak buah Mohamad Azizi Abdul Aziz tampil garang menewaskan kelab Sweden B.K Olympic Malmo 2-1 dalam aksi final.
Disebalik detik membanggakan negara, Pengasas TH Global Football Camp, YTM Datuk Indera Tunku Harun Almarhum Tunku Annuar Sultan Badlishah, bersama dengan para penaja TH Global Football, sebenarnya telah memainkan peranan penting dalam kejayaan ini.
Usaha mereka membawa pasukan dari Kedah ke Jerman bukan sahaja memberi peluang berharga kepada para pemain muda tetapi juga mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Tunku Harun (kiri) bersama Muhammad Hafiy Hadiff Hezri yang muncul penjaring terbanyak kejohanan di Jerman.
Bercakap eksklusif kepada FLASH SUKAN, pihak TH Global Football Camp meluahkan kegembiraan dan rasa bangga terhadap pencapaian pasukan B-15.
“Kami amat gembira dengan pencapaian luar biasa pasukan ini. Ia adalah bukti bahawa bakat muda kita mampu bersaing dan berjaya di peringkat antarabangsa. Kami berharap kejayaan ini akan menjadi pemangkin semangat kepada para pemain untuk terus berusaha dan mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan,” katanya.
Jelas YTM Tunku Harun lagi, objektif kejohanan ini, selain daripada mencungkil bakat muda, adalah untuk memberi pengalaman berharga dan pendedahan antarabangsa kepada para pemain.
Kejayaan pasukan B-15 ini menunjukkan bahawa dengan sokongan yang padu, para pemain muda Malaysia mampu mencapai kejayaan besar di arena antarabangsa.
“Pasukan Kedah ini turut menerima penghargaan dan ucapan terima kasih kepada THGFC – Tunku dan pelbagai pihak termasuk Penaja Utama Epic Valley, Irama Jaya, YSB & Eupe, guru-guru, ibu bapa, dan pihak media.
Mereka semua memainkan peranan penting dalam kejayaan ini dengan sokongan serta dorongan yang tidak berbelah bagi,” ujarnya.

Puas.. Kapten SSN Kedah, Muhd Syabil Iqbal Azhar mengucup trofi Laola Cup.
Paling manis, Muhammad Hafiy Hadiff Hezri muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan tujuh gol dan satu assist dan sudah pastinya prestasi cemerlang dirinya menjadi pemangkin utama kejayaan pasukan.
Laola Cup, yang telah dianjurkan selama enam tahun berturut-turut di Hamburg, adalah satu platform penting bagi pasukan dari seluruh dunia untuk berentap dan menunjukkan kebolehan mereka.
ARTIKEL BERKAITAN : Laola Cup 2024: SSN Kedah wakili Malaysia di Hamburg, Jerman
Pasukan dari Kedah adalah wakil pertama Malaysia yang mengambil bahagian dalam kejohanan ini, menjadikan kemenangan mereka satu pencapaian yang sangat membanggakan.
Sementara itu, pihak penganjur kejohanan TH Global Football Camp dalam kenyataan mereka, turut mengucapkan tahniah kepada pasukan B-15 Kedah atas kemenangan mereka dan berharap dapat melihat lebih banyak penyertaan dari Malaysia pada masa akan datang.

Kejayaan ini adalah satu bukti bahawa Malaysia mempunyai bakat muda yang berpotensi besar dan dengan sokongan yang berterusan, mereka mampu mencapai kejayaan yang lebih gemilang di masa hadapan.
INFO :
Juara
1. TH Global Football Camp | Malaysia -SSN Kedah
Naib Johan
2. B.K Olympic Malmo (2) |
Tempat ketiga
Sweden
3. FC Altyn Tach | Turkmenistan
4. Rhenania Richterich | Germany
5. JDFS Alberts | Latvia
6. B.K Olympic Malmo (1) | Sweden
7. Ölands Komb | Sweden
8. Akademi of Kamza Sport | Albania
9. Aksil FC | China
10. Lech Poznan Football Academy | Poland
11. Step Up Football Academy | Nigeria
12. Fram IF | Norway