SAMBUTAN kejayaan Selangor FC kembali ke pentas Asia sejak tujuh tahun lepas lebih manis apabila diraikan bersama Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Uniknya, Tengku Amir Shah yang juga Pengerusi Selangor FC sanggup ke Alor Setar menaiki bas khas semata-mata menzahirkan sokongan padu kepada anak buah Tan Cheng Hoe.
Presiden Anak Selangor Fan Club (ASFC), Mohd Faizal Wahid yang turut berada di stadium bersyukur kerana segala sesabaran semua penyokong Merah Kuning dibalas dengan kemanisan disaat akhir.
“Lebih manis lagi kejayaan Selangor di laman lawan disaksikan Tuanku Raja Muda Selangor yang hadir menaiki bas dari Shah Alam ke Kedah
“Sebagai penyokong tentu gembira kerana pemain Selangor telah berjaya menjadi naib juara Liga Super walaupun masih berbaki satu perlawanan lagi dan seterusnya berjaya merebut tiket ke Liga Juara-Juara AFC 2 musim depan,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN selepas perlawanan.
Jaringan tunggal Ayron Del Valle Rodriguez cukup untuk membantu Selangor FC menewaskan Kedah Darul Aman FC pada aksi Liga Super 2023 di Stadium Darul Aman.
Gol itu membuatkan kira-kira 20,000 penyokong tuan rumah terkaku diam dan Kedah gagal bangkit sehingga tiupan wisel penamat.