SEBANYAK 159 pemain muda dari pelbagai institusi pengajian tinggi seluruh negara kini sedang mengerah segala kudrat demi merebut tempat dalam pasukan Malaysian University Football Team (MUFT) yang bakal dibentuk menjelang penghujung Jun ini.

Sesi pemilihan intensif selama tiga hari, bermula 3 hingga 5 Jun 2025, sedang berlangsung di Arena 5, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, dan menyaksikan persaingan sengit dalam kalangan pemain yang menampilkan bakat serta semangat luar biasa. Mereka hadir bukan sekadar membawa nama universiti masing-masing, tetapi juga harapan untuk mewakili Malaysia dalam kejohanan bola sepak peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Proses pemilihan dikendalikan tujuh panel profesional yang terdiri daripada tokoh sukan universiti termasuk YM Prof. Madya Dr. Raja Mohammed Firhad Raja Azidin dari UiTM, serta wakil-wakil dari UniSZA, UPNM, UIAM, UniKL, Politeknik Malaysia dan Kolej Komuniti Selandar.

Menurut Ketua Jurulatih MUFT, Mohd Yazli Yahya, sesi kali ini memperlihatkan peningkatan ketara dalam aspek kemahiran dan kecergasan fizikal para pemain. “Tahap persaingan sangat tinggi. Ramai pemain tampil dengan disiplin dan mutu permainan yang meyakinkan — ini mencerminkan kesungguhan mereka,” katanya.

Pasukan MUFT akan diumumkan secara rasmi pada akhir bulan ini selepas pemain dinilai secara menyeluruh dari aspek teknikal, taktikal dan psikologi sukan. Mereka yang terpilih akan menjalani kem latihan intensif sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Liga Bola Sepak Semi-Pro Malaysia, A1 MBSM Championship (AFL) musim 2025–2026 yang bermula pertengahan Julai.

Inisiatif ini bukan sekadar membuka ruang kepada pelajar untuk menonjolkan bakat, malah memperkukuh jaringan kerjasama antara IPT seluruh negara dalam mencorakkan masa depan bola sepak Malaysia.

FOTO:UiTM United