
Penyokong Valencia adakan protes gesa Peter Lim tinggalkan kelab

PENYOKONG kelab Valencia melakukan protes sebelum perlawanan menentang Athletic Bilbao yang menggesa pemilik kelab, Peter Lim untuk meninggalkan kelab yang berpangkalan di Stadium Mestalla.
Ribuan penyokong memenuhi jalanan di sekitar stadium dengan kebanyakan mereka memegang papan tanda atau sepanduk yang bertulis ‘Lim, sila pulang’ beserta ‘chant’ yang mengiringi protes mereka itu.
Penyokong Valencia nyata tidak gembira dengan cara Lim mengendalikan kelab dan telah lama meminta dia meninggalkan kelab untuk memberikan laluan kepada pemilik baharu.

Peter Lim, pemilik Valencia
Ketika zaman Lim di Valencia, para peminat melihat kelab kesayangan mereka yang sering bertarung bersama gergasi Eropah kini bergelut di zon relegasi La Liga dan ini yang menyebabkan mereka turun ke jalanan mengadakan protes.
Valencia hanya meraih 20 mata dari 21 perlawanan dan telah tewas dalam empat perlawanan berturut-turut dan dilihat tidak mampu untuk pulih dalam keadaan segera.
Meskipun berlaku protes, Valencia berjaya mendahului perlawanan 1-0 hasil jaringan Samu Castillejo selepas menyempurnakan gerakan cantik yang dilakukan pasukan untuk menceriakan penyokong yang hadir.
⚽ 1-2 | Full-time pic.twitter.com/ctsXbr6lYo
— Valencia CF (@valenciacf_en) February 11, 2023
Bagaimanapun, keadaan itu tidak kekal lama apabila Athletic Bilbao kembali semula dalam perlawanan dengan Nico Williams menjaringkan gol menerusi gerakan solo dan ketika perlawanan dilihat hampir berakhir dengan keputusan seri, Oihan Sancet menjaringkan gol kedua sekaligus memberikan tiga mata kepada pelawat.
Valencia gagal mencari gol penyamaan untuk tewas 2-1 dan kini kekal dalam zon relegasi dan bakal bertandang ke Getafe selepas ini untuk kembali menghidupkan peluang kekal dalam La Liga.