‘TIP TOP’… itulah yang boleh digambarkan empat pegawai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ketika sesi terakhir pemeriksaan padang pada Bengkel Pasukan Piala Asia AFC yang berakhir pada Jumaat di Doha, Qatar.
Dua venue yang akan digunakan oleh pasukan Malaysia dalam Kumpulan E iaitu aksi bertemu Jordan dan Korea Selatan di Stadium Al Janoub manakala perlawanan menentang Bahrain di Stadium Jassim bin Hamad.

Empat pegawai FAM yang hadir pada sesi pemeriksaan padang itu termasuk Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar (penolong pengurus pasukan), Steven Paul (pegawai pentadbir), Wan Fakhrul Wan Bakar (pegawai media) dan ASP Mohd Hasni Hussin).
Bengkel Pasukan Piala Asia yang bermula 4 Oktober lalu merupakan program persiapan menjelang Piala Asia 2022 Januari ini yang menyaksikan setiap 24 pasukan menghantar empat orang wakil.

Selain pemeriksaan venue perlawanan, turut dibentangkan atau intipati yang disampaikan sepanjang bengkel ini berlangsung adalah mengenai pengurusan perlawanan, medikal, tiket, keselamatan, kad akreditasi dan beberapa perkara lain lagi.
Piala Asia 2023 bakal bermula 12 Januari hingga 10 Februari 2024. Pasukan Malaysia berada dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan, Bahrain dan Jordan.