Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal mengadakan pertemuan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mendapatkan penjelasan berhubung status tujuh pemain warisan yang dikenakan tindakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) susulan isu dokumentasi.
Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan, berkata pertemuan itu penting bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai perkara berkaitan kewarganegaraan serta pengeluaran pasport, yang berada di luar bidang kuasa badan induk bola sepak negara.
“Berhubung status pasport tujuh pemain warisan berkenaan, saya akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri. Perkara berkaitan kewarganegaraan dan pengeluaran pasport adalah di luar bidang kuasa FAM,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2025-2029 di Wisma FAM, hari ini.
Menurut Ab Ghani, FAM akan bekerjasama rapat dengan KDN bagi mendapatkan penjelasan mengenai isu berkenaan serta mencari jalan penyelesaian berdasarkan bidang kuasa masing-masing.
“Jadi, kami semua akan mendapatkan penjelasan dan bekerjasama rapat dengan KDN bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik,” katanya.
Beliau pada masa sama mengesahkan tujuh pemain warisan berkenaan ketika ini tidak dibenarkan mewakili skuad kebangsaan susulan keputusan FIFA berhubung kes dokumentasi yang sebelum ini mencetuskan perhatian dalam bola sepak negara.
FIFA pada 26 September 2025 dilaporkan mendapati FAM dan tujuh pemain tersebut melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan kesalahan pemalsuan dokumen. Siasatan mendapati dokumen digunakan bagi mengesahkan kelayakan pemain berkenaan untuk mewakili Malaysia.
Susulan keputusan itu, FAM dikenakan denda CHF350,000, manakala setiap pemain terbabit dikenakan denda CHF2,000 serta larangan daripada terlibat dalam sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan.
Dalam perkembangan sama, Ab Ghani turut menegaskan isu berkenaan tidak boleh berulang sepanjang tempoh kepimpinannya selepas beliau terlebih dahulu menyampaikan permohonan maaf kepada penyokong bola sepak Malaysia.
“Saya ingin memohon maaf kepada seluruh penyokong bola sepak Malaysia atas isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan yang berlaku tahun lepas. Saya memberi komitmen sepanjang tempoh menerajui FAM, isu sedemikian tidak akan dibiarkan berulang lagi,” katanya.
Mesyuarat hari ini turut menyaksikan FAM melantik pengurus serta timbalan pengurus bagi 11 jawatankuasa tetap, termasuk Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan, Pertandingan, Undang-Undang, Pengadil, Status Pemain, Media dan Pemasaran serta Teknikal dan Pembangunan sebagai sebahagian usaha memperkemas struktur pentadbiran badan induk berkenaan.