SKUAD kebangsaan terpaksa menerima tamparan awal apabila dibolosi menerusi sepakan sudut pada separuh masa pertama, dengan pihak lawan memanfaatkan hantaran berkualiti untuk mencipta kelebihan seawal permainan pada perlawanan malam tadi.

Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski berkata reaksi segera yang dipamerkan para pemain wajar dipuji apabila mereka berjaya bangkit dan mengatur beberapa gerakan menyerang yang cukup berbahaya sepanjang baki aksi babak pertama.

“Walaupun kita mencipta banyak peluang, kegagalan menyempurnakan salah satu daripadanya untuk menyamakan kedudukan menjadi titik perubahan besar yang mempengaruhi keseluruhan corak perlawanan,” katanya di dalam sidang media semalam.

Pasukan lawan pula dilihat lebih klinikal di hadapan gol, khususnya melalui pemain naturalisasi Vietnam, Nguyễn Xuân Son yang beraksi cemerlang dan bijak mengambil peluang dalam detik-detik penting.

 

Harimau Malaya sebenarnya tidak ketandusan peluang apabila berjaya menghasilkan sekurang-kurangnya empat hingga lima peluang terbaik, namun ketumpulan penyudah menjadi penghalang utama untuk kembali dalam perlawanan.

Biarpun beraksi di tempat lawan dalam suasana mencabar, pasukan negara tetap mampu mempamerkan corak permainan yang tersusun dan mencipta peluang berkualiti tinggi yang sepatutnya mampu mengubah keputusan.

Peter meluahkan rasa bangga yang mendalam terhadap mentaliti dan semangat juang tinggi yang dipamerkan pemain, terutama dalam menghadapi tekanan sepanjang perlawanan sengit tersebut.

Malah, beliau turut mengakui bahawa situasi sukar yang dihadapi pasukan sejak beberapa bulan lalu bukanlah sesuatu yang biasa dalam dunia bola sepak, namun para pemain tetap kekal fokus dan berdisiplin tinggi.

Vietnam turut diberikan pujian sebagai pasukan yang sangat berkualiti dengan barisan pemain yang kuat, dan kredit diberikan kerana memanfaatkan peluang

Walaupun keputusan tidak memihak kepada Harimau Malaya, kepercayaan antara pemain dan keyakinan terhadap pasukan menjadi asas penting untuk bangkit dengan lebih kuat pada aksi akan datang.