PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) tampil dengan pendirian tegas bahawa mereka akan membuat rayuan terhadap keputusan FIFA yang mengenakan hukuman ke atas badan induk itu serta tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Dalam satu kenyataan rasmi, Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi menegaskan bahawa segala tindakan yang diambil sebelum ini dilakukan dengan niat baik dan penuh ketelusan, termasuk dari segi pengurusan dokumentasi serta pematuhan prosedur. Malah, FIFA sendiri pada awalnya sudah memberikan pengesahan rasmi bahawa pemain-pemain terbabit layak untuk beraksi mewakili Malaysia.
Bagaimanapun, selepas aduan diterima dan siasatan dijalankan, Jawatankuasa Tatatertib FIFA memutuskan FAM bersalah di bawah Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan dokumen, sekali gus menjatuhkan denda CHF350,000 (1.8 juta) kepada FAM selain menggantung tujuh pemain selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.
FAM menegaskan pihaknya tidak akan berdiam diri dan akan menggunakan semua saluran serta prosedur perundangan yang ada untuk mempertahankan kepentingan pemain dan pasukan kebangsaan. Tindakan rayuan ini juga adalah sebahagian daripada komitmen FAM memastikan integriti bola sepak negara tidak tercalar.
“FAM telah menguruskan segala dokumentasi secara telus mengikut garis panduan yang ditetapkan. Kami kekal komited untuk mematuhi peraturan antarabangsa dan akan mempertahankan nama baik bola sepak Malaysia,” ujar Yusoff.
FAM juga memberi jaminan akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Malaysia serta semua pihak berkepentingan bagi memastikan proses rayuan berjalan dengan adil dan berlandaskan semangat kesukanan.
Insiden ini jelas memberi tamparan besar buat skuad Harimau Malaya yang kini berdepan krisis di luar padang, namun langkah rayuan oleh FAM dilihat sebagai usaha penting untuk memberi keadilan kepada pemain serta mengembalikan keyakinan penyokong bola sepak tanah air.
Perkembangan lanjut mengenai proses rayuan serta langkah susulan akan dimaklumkan FAM dari semasa ke semasa.