PEMAIN pertahanan skuad kebangsaan, Jimmy Raymond, berkongsi pengalamannya selepas melalui tiga perlawanan yang sukar di Piala ASEAN Mitsubishi Electric (AMEC) 2024 bersama skuad Harimau Malaya.
Berbicara dalam sesi latihan pasukan kebangsaan di Wisma FAM pada Selasa, Jimmy menyatakan penghargaannya kepada pasukan dan barisan kejurulatihan yang telah memberi kepercayaan kepadanya.
“Terima kasih kepada coach dan player kerana mempercayai saya untuk tiga perlawanan yang lalu yang mencabar bagi saya,” ujar Jimmy yang kini semakin selesa dalam pasukan kebangsaan.

Jimmy Raymond bertekad untuk memberikan aksi terbaik bagi memastikan kemenangan buat Malaysia dalam perlawanan menentang Singapura.
Kehadirannya dalam skuad negara turut mencuri perhatian kerana Jimmy menjadi pemain Sarawak selepas Joseph Kalang Tie yang mewakili Malaysia.
Menurutnya, Joseph ada memberi beberapa pesanan kepadanya untuk kekal fokus dan bekerja keras untuk pasukan negara.
“Sebelum saya dalam pasukan kebangsaan ni, dia selalu memberitahu saya untuk terus fokus dalam bidang bola sepak, latihan dan semua aspek pun kena fokus, teruskan usaha, serta kerja keras,” katanya.
Mengulas mengenai hubungannya bersama rakan sepasukan, Jimmy menyatakan suasana harmoni dalam pasukan banyak membantunya menyesuaikan diri sebagai pemain baharu.
“Ya, selesa dengan rakan sepasukan kerana mereka semua macam family,” ujarnya.
Skuad Harimau Malaya kini sedang bersiap sedia menghadapi perlawanan penting menentang Singapura, pasukan yang dianggap sebagai seteru tradisi.
Menurut Jimmy, beliau dan pasukan bertekad untuk memberikan aksi terbaik bagi memastikan kemenangan buat Malaysia.
“Semestinya kami akan cuba buat yang terbaik dan memberi keputusan yang positif untuk negara,” tegasnya.
“Semua pemain Singapura perlu diberi perhatian dan setiap posisi juga, kita harus awasi pergerakan mereka dan jangan leka dengan asakan daripada Singapura,” katanya lagi.
Mengimbas pengalamannya ketika bertemu Kemboja, Jimmy mengakui ada melakukan kesilapan yang menjadi pengajaran berharga baginya.
Beliau menegaskan telah membuat persiapan rapi untuk perlawanan menentang Singapura dan tidak mahu mengulangi kesilapan yang sama.
“Mistake memang saya yang buat, tapi itu kesilapan individual saya. Tetapi untuk kekalkan semangat kita kena bagi seratus peratus untuk game.
“Fokus untuk taktikal yang coach bagi untuk menghadapi mereka Jumaat nanti,” jelasnya.
Jimmy turut berkongsi dorongan utamanya untuk mengejar impian sebagai pemain bola sepak.
Sokongan keluarga dan rakan-rakan menjadi pendorong utama dalam kariernya.
“Kata-kata semangat oleh kawan-kawan yang sentiasa support saya dan family.
“Mereka yang memberi saya semangat untuk kerja keras untuk mewakili kelab serta negara,” katanya.
Skuad Harimau Malaya dijangka turun habis-habisan dalam perlawanan menentang Singapura Jumaat ini, dengan misi layak ke separuh akhir AMEC 2024.