SELEPAS siri kejayaan skuad bola sepak kebangsaan dan peringkat bawah 19 tahun, kini giliran Malaysia B-16 pula bersedia mempamerkan taring Kejuaraan B-16 AFF 2022 di Stadium Maguwoharjo Sleman, Yogyakarta, Indonesia.
Kempen kali ini akan disertai 12 pasukan yang dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu Kumpulan A menampilkan tuan rumah Indonesia, Vietnam, Singapura dan Filipina.
Kumpulan B dibarisi Thailand, Timor-Leste, Laos dan Brunei manakala Kumpulan C diisi oleh Malaysia, Australia, Myanmar dan Kemboja.
Skuad Harimau Malaya B-16 bimbingan Osmera Omaro akan memulakan kempen saingan Kumpulan C bertemu Kemboja pada 2 Ogos, diikuti berdepan Myanmar (5 Ogos) dan aksi terakhir kumpulan menentang Australia (8 Ogos).
Tiga pasukan juara kumpulan serta satu pasukan terbaik di tempat kedua akan layak ke separuh akhir pada 10 Ogos manakala perlawanan penentuan tempat ketiga dan final dijadual berlangsung pada 12 Ogos 2022 di Stadium Maguwoharjo Sleman.
Dengan pembatalan dua edisi berturut pada 2020 dan 2021 ekoran pandemik COVID-19, Malaysia merupakan juara bertahan selepas skuad kendalian P. Maniam ketika itu menjuarai Kejuaraan B-15 AFF 2019 di Chonburi menerusi kemenangan 2-1 ke atas tuan rumah, Thailand pada aksi final.
Terdahulu, Malaysia pernah muncul juara buat kali pertama pada Kejuaraan B-16 AFF 2013 di Nay Pyi Taw, Myanmar dengan skuad kendalian S. Balachandran ketika itu berjaya menewaskan Indonesia 3-2 pada penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 pada aksi final.
Hanya 25 pemain akan berada dalam senarai akhir pasukan yang dijadual berlepas ke Yogyakarta pada 30 Julai ini.