Ratu berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri memastikan dirinya tidak pulang hampa apabila meraih pingat perak acara 1 kilometer (km) ujian masa wanita pada Asian Track Cycling Championships 2026 yang berlangsung di Velodrom Tagaytay, Filipina semalam.

Pelumba berusia 23 tahun itu mencatat masa 1 minit 06.916 saat (s) untuk menduduki tempat kedua di belakang pelumba China, Luo Xue Huang yang meraih emas dengan catatan 1:05.120s, manakala gangsa menjadi milik Hwang Hyeon Seo dari Korea Selatan dengan masa 1:07.269s.

Dengan kejayaan tersebut, beliau dapat menebus kekecewaan sebelum ini selepas gagal meraih sebarang pingat dalam acara keirin dan pecut individu.

Terdahulu, beliau layak ke pentas final di kedudukan ketiga selepas mencatat masa 1:07.571s dalam pusingan kelayakan, manakala Luo Xue Huang muncul terpantas dengan 1:05.561s yang turut memadam rekod Asia milik pelumba negara itu.

Pada aksi final, Nurul Izzah berjaya memperbaiki catatan masa, namun ia masih belum mencukupi untuk mempertahankan gelaran acara 1km ujian masa yang dimenanginya pada edisi lalu di Nilai.

Pingat tersebut merupakan pencapaian individu pertama beliau pada kejohanan kali ini, selain menambah koleksi selepas turut meraih perak dalam acara pecut berpasukan bersama Anis Amira Rosidi dan Nur Alyssa Farid.

Sementara itu, dalam acara lelaki, Muhammad Fadhil Mohd Zonis menamatkan saingan di tempat keempat acara 1km ujian masa dengan catatan 1:00.832s.

Pingat emas dimenangi pelumba Kazakhstan, Kirill Kurdidi dengan masa 59.915s, diikuti wakil China, Xie Han (59.929s) manakala pelumba Jepun, Ryuto Ichida melengkapkan podium di tempat ketiga dengan catatan 1:00.614s.