Spain’s forward #19 Lamine Yamal controls the ball during the international friendly football match between Spain and Egypt at RCDE Stadium in Cornella de Llobregat, near Barcelona, on March 31, 2026. (Photo by Lluis GENE / AFP)

Sepanyol menerima khabar gembira menjelang sepak mula Piala Dunia 2026 apabila bintang muda mereka, Lamine Yamal dijangka pulih sepenuhnya sebelum aksi pembukaan menentang Cape Verde pada 16 Jun ini.

Perkembangan itu turut melibatkan seorang lagi tonggak penting, Nico Williams yang kini berada di fasa akhir pemulihan selepas mengalami kecederaan hamstring pada penghujung musim bersama kelab masing-masing.

Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente optimis kedua-dua pemain sayap itu akan bersedia untuk menggalas tugas bersama skuad La Roja sebaik kejohanan bermula.

Selain Yamal dan Williams, pemain sayap Osasuna, Victor Munoz turut menunjukkan perkembangan positif dalam proses pemulihannya dan berpeluang kembali memperkuatkan pasukan dalam masa terdekat.

Ketiga-tiga pemain bagaimanapun tidak menyertai rombongan pasukan ke Mexico bagi aksi persahabatan menentang Peru, sebaliknya kekal di kem latihan Sepanyol di Amerika Syarikat untuk meneruskan program pemulihan yang diselia pegawai perubatan pasukan.

Menurut De la Fuente, keputusan itu dibuat bagi memastikan mereka berada pada tahap kecergasan terbaik menjelang aksi pertama di pentas Piala Dunia.

Kehadiran semula Yamal dan Williams pastinya memberi kelebihan besar kepada Sepanyol yang hadir ke kejohanan itu dengan reputasi sebagai antara pencabar utama kejuaraan.

Yamal khususnya dijangka menjadi antara pemain yang paling mencuri perhatian selepas mempamerkan aksi cemerlang bersama kelab dan skuad kebangsaan sepanjang dua musim terakhir.

Sepanyol akan memulakan kempen Kumpulan H menentang Cape Verde sebelum berdepan Arab Saudi dan Uruguay dalam usaha memburu tempat ke pusingan kalah mati.