Japan’s forward #11 Daizen Maeda (C) fights for the ball with Netherlands’ defender #22 Denzel Dumfries (R) during the 2026 World Cup Group F football match between the Netherlands and Japan at the Dallas Stadium in Arlington on June 14, 2026. (Photo by Aric Becker / AFP)
Jurulatih Belanda, Ronald Koeman enggan menyalahkan keputusan taktikalnya selepas pasukannya terlepas peluang memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan kemenangan apabila diikat Jepun 2-2 dalam aksi Kumpulan F, awal pagi tadi.
Belanda dua kali berada di hadapan menerusi jaringan kapten Virgil van Dijk dan Crysencio Summerville, namun semangat juang Jepun menyaksikan mereka bangkit menyamakan kedudukan menerusi Keito Nakamura dan Daichi Kamada.
Gol penyamaan Jepun hadir dua minit sebelum wisel penamat apabila rembatan Kamada terkena pemain Belanda sebelum menewaskan penjaga gol lawan.
Koeman menjadi perhatian selepas mengeluarkan Summerville hanya enam minit selepas pemain itu menjaringkan gol kedua Belanda, selain melakukan beberapa pertukaran yang dilihat lebih bertahan termasuk memasukkan Nathan Ake bagi mengukuhkan benteng pasukan.
Namun pengendali berusia 63 tahun itu menegaskan keputusan tersebut bukan punca kegagalan pasukannya meraih tiga mata penuh.
“Terdapat juga masalah tekanan di bahagian sayap. Jika anda melihat kedua-dua gol itu, kami tidak bertahan dengan baik.
“Bola sepak kadangkala lucu kerana selepas Jepun menjaringkan gol kedua, mereka pula mula bertahan. Jadi kami juga berpeluang menjaringkan gol ketiga. Saya tidak menyesal dengan keputusan saya,” katanya.
Belanda turut memberikan peluang kepada Memphis Depay beraksi pada babak kedua selepas penyerang berpengalaman itu pulih daripada kecederaan paha. Bagaimanapun, penjaring terbanyak sepanjang zaman Belanda itu gagal memberi impak besar dan menerima kad kuning selepas melakukan terjahan keras.
Koeman mengakui pasukannya belum mencapai tahap sebenar dan perlu segera memperbaiki prestasi menjelang aksi kedua kumpulan menentang Sweden.
“Sudah tentu kami boleh beraksi lebih baik dan kami perlu terus berkembang sepanjang kejohanan ini.
“Ini sememangnya bukan persembahan terbaik kami. Sudah tentu kami mahu memenangi perlawanan pertama,” katanya.
Keputusan seri itu menyaksikan Belanda dan Jepun berkongsi satu mata, sekali gus membuka lagi persaingan dalam Kumpulan F.