PERSEKUTUAN Bolasepak Antarabangsa (FIFA) memperkenalkan beberapa perubahan peraturan menjelang Piala Dunia 2026 dalam usaha mempercepatkan tempo permainan, mengurangkan pembaziran masa dan meningkatkan ketepatan keputusan pengadilan.
Antara perubahan paling ketara melibatkan tindakan lebih tegas terhadap pemain yang sengaja melengah-lengahkan permainan, khususnya ketika situasi sepakan gol dan lontaran ke dalam.
Menerusi peraturan baharu itu, pengadil akan memulakan kiraan undur lima saat sekiranya pemain mengambil masa terlalu lama untuk memulakan semula permainan. Jika gagal berbuat demikian dalam tempoh ditetapkan, pasukan lawan akan diberikan sepakan sudut bagi sepakan gol yang dilengah-lengahkan atau lontaran ke dalam jika melibatkan situasi tersebut.
FIFA turut memperkenalkan prosedur lebih ketat terhadap pemain yang digantikan. Pemain yang dikeluarkan mesti meninggalkan padang dalam tempoh 10 saat dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan pemain gantian terpaksa menunggu sehingga permainan dihentikan semula sebelum dibenarkan masuk.
Selain itu, pemain yang menerima rawatan kecederaan di atas padang perlu keluar terlebih dahulu dan hanya dibenarkan kembali selepas sekurang-kurangnya satu minit permainan disambung.
Dalam usaha memperkukuh integriti permainan, FIFA juga mengambil pendekatan lebih tegas terhadap isu tingkah laku pemain. Sebarang tindakan menutup mulut ketika berdebat atau berinteraksi dengan lawan boleh mengundang tindakan disiplin termasuk kad merah jika didapati dilakukan secara sengaja.
Dari aspek teknologi, kuasa Sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) turut diperluaskan. VAR kini dibenarkan menyemak beberapa insiden tambahan termasuk kad kuning kedua yang jelas tidak tepat, kes salah identiti pemain, keputusan sepakan sudut yang meragukan serta kesalahan yang berlaku sebelum jaringan gol, penalti atau keputusan disiplin penting.
Pada masa sama, FIFA memberi amaran keras terhadap tindakan pemain atau pasukan yang meninggalkan padang sebagai tanda protes terhadap keputusan pengadil. Tindakan sedemikian boleh membawa kepada hukuman kad merah terhadap pemain dan pegawai pasukan yang terlibat.
Langkah-langkah baharu itu dilihat sebagai sebahagian usaha FIFA untuk memastikan permainan berlangsung dengan lebih lancar, adil dan menarik sepanjang kejohanan terbesar dunia yang bakal berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.