Kredit Gambar: Thomas Coex/AFP

SELEPAS lebih 20 tahun mewarnai pentas bola sepak dunia, Lionel Messi akhirnya bakal melengkapkan satu lagi detik penting dalam kariernya apabila dijadualkan membuat penampilan sulung menentang England pada aksi separuh akhir Piala Dunia 2026, awal pagi Khamis.

Sepanjang karier antarabangsanya, kapten Argentina itu sudah berdepan hampir semua gergasi bola sepak termasuk Brazil, Jerman, Perancis, Itali dan Sepanyol. Namun, England kekal sebagai satu-satunya juara dunia yang belum pernah ditentangnya.

Pertembungan di Atlanta itu sekali gus mengakhiri penantian panjang Messi untuk merasai pengalaman beraksi menentang The Three Lions, sesuatu yang turut disifatkan Persatuan Bolasepak Argentina (AFA) sebagai detik yang sudah lama dinantikan.

Peluang terbaik Messi bertemu England sebenarnya hadir pada aksi persahabatan di Geneva pada November 2005, namun dia terlepas perlawanan itu akibat menjalani penggantungan susulan kad merah yang diterimanya ketika penampilan sulung bersama skuad senior Argentina menentang Hungary.

Perlawanan tersebut menyaksikan England bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan 3-2 menerusi dua gol Michael Owen serta satu jaringan Wayne Rooney.

Menjelang aksi separuh akhir kali ini, Messi mengakui berdepan England sentiasa memberikan cabaran berbeza memandangkan lawan mereka memiliki reputasi sebagai antara kuasa besar bola sepak dunia.

“Ia sentiasa istimewa untuk bermain dalam perlawanan seperti ini kerana England adalah pasukan yang hebat.

“Kami perlu pulihkan keadaan fizikal terlebih dahulu kerana sudah mengharungi beberapa perlawanan yang sangat mencabar. Yang penting, kami mahu tiba dalam keadaan terbaik,” katanya.

Argentina mara ke kelompok empat terbaik selepas mengharungi laluan sukar dalam pusingan kalah mati.

Skuad kendalian Lionel Scaloni terlebih dahulu menewaskan Cape Verde 3-2 selepas masa tambahan pada pusingan 32 terbaik sebelum bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menyingkirkan Mesir 3-2 di pusingan 16 terbaik.

Pada aksi suku akhir menentang Switzerland, Messi mencipta satu bantuan jaringan kepada Alexis Mac Allister dalam kemenangan 3-1, namun gagal menemui jaringan buat kali pertama di Piala Dunia sejak aksi peringkat kumpulan menentang Poland pada edisi 2022.

Bekas pertahanan England, Micah Richards percaya tugas utama pasukannya adalah mencari formula terbaik untuk mengehadkan pengaruh pemain berusia 39 tahun itu.

“England mungkin mempunyai kelebihan dari segi tenaga dan intensiti, tetapi Argentina memiliki seorang pemain yang mampu mengubah perlawanan iaitu Messi.

“Semua pemain Argentina bermain mengikut rentaknya. Sangat sukar untuk mengawalnya kerana dia tidak perlu banyak bertahan,” katanya.

Pertembungan itu turut menghidupkan semula antara perseteruan paling ikonik dalam sejarah bola sepak dunia, dengan kedua-dua negara pernah mencipta pelbagai episod dramatik di pentas antarabangsa.

Bagi Messi pula, aksi di Atlanta bukan sekadar peluang membawa Argentina ke final, malah melengkapkan satu lagi bab penting dalam karier gemilangnya dengan akhirnya berdepan England buat kali pertama.