PESATUAN Badminton Malaysia (BAM), mengumumkan lanjutan kerjasama strategik dengan jenama peralatan badminton terkenal dunia, Yonex dan pengedar eksklusifnya di Malaysia, Sunrise Sports Sdn Bhd, sehingga tahun 2028.
Keputusan ini mengukuhkan komitmen bersama terhadap pembangunan sukan badminton di Malaysia, menjelang persiapan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Kerjasama yang mula terjalin pada tahun 2021 ini pada asalnya dijadual tamat pada 2026, namun kini telah diperbaharui lebih awal berdasarkan hubungan kukuh yang dibina selama ini.
Lanjutan ini menzahirkan keyakinan Yonex terhadap BAM serta visi bersama dalam mengangkat badminton Malaysia ke tahap lebih tertinggi.
Di bawah perjanjian baharu ini, Yonex akan terus menjadi pembekal peralatan rasmi untuk pemain kebangsaan serta kejohanan utama anjuran BAM, termasuk Petrona Malaysia Open (BWF World Tour 1000) dan Perodua Malaysia Masters.
“Yonex telah memberikan manfaat besar kepada badminton negara, termasuk kejayaan meraih gelaran juara dunia buat kali pertama dalam tempoh 45 tahun di Tokyo, Jepun, oleh pasangan beregu lelaki Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.
“Kami yakin kerjasama ini akan membawa lebih banyak kejayaan di pentas dunia,” ujar Pemangku Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam.
Selain menyokong atlet senior, Yonex turut memainkan peranan penting dalam pembangunan atlet muda melalui program seperti Junior Elite Tour.
Prestasi cemerlang di peringkat remaja juga dibuktikan oleh Aaron Tai dan Kang Khai Xing, yang berjaya meraih pingat emas di Kejohanan Remaja Dunia di Nanchang, China, sekaligus menamatkan penantian 13 tahun Malaysia.
Tambahan lagi, Sunrise Sports selaku pengedar eksklusif Yonex di Malaysia turut melanjutkan sokongan padu kepada BAM sejak tahun 1990-an.
Menurut Pengarah Sunrise Sports, Datuk Kho Kai Hwa, hubungan tiga pihak antara BAM, Yonex, dan Sunrise adalah tonggak utama pembangunan badminton negara.
“Sunrise bangga menjadi sebahagian daripada kejayaan ini dan akan terus menyokong BAM dari peringkat akar umbi hingga ke kejohanan elit,” katanya.
Sejak kerjasama ini dihidupkan semula pada tahun 2021, Yonex dan Sunrise telah menjadi rakan strategik BAM dalam memperkukuh badminton Malaysia.
Dengan lanjutan perjanjian ini, BAM, Yonex, dan Sunrise akan memastikan persiapan yang rapi bagi menghadapi cabaran global dan terus menjulang nama Malaysia di pentas badminton dunia.