BERDEBAR jurulatih beritahu kami silap pilih gelanggang untuk set pertama, itulah detik yang tidak dapat dilupakan pasangan muda negara, Arif Junaidi-Yap Roy King ketika membuat penampilan sulung di Kejohanan Dunia di Paris.

Arif mengakui mereka sendiri tidak menyedari perkara itu sehinggalah jurulatih menegur selepas tamat set pertama yang menyaksikan mereka bermain dengan arah gelanggang yang salah.

“Masa kita masuk gelanggang tu, kita ada bincang nak ikut angin ke lawan angin, tapi lepas habis first set, coach cakap salah side lah,” kata Arif sambil menyifatkan pengalaman itu sebagai satu pengajaran.

Meskipun tersilap, gandingan nombor 4 negara itu tetap menamatkan perlawanan menentang Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura (Jepun) selama 27 minit dengan kemenangan 21-5, 21-13 di Porte de La Chapelle. 

Bagi Roy King, cabaran lebih besar adalah apabila mereka dijadualkan menjadi perlawanan pertama kejohanan (pembuka gelanggang), sesuatu yang dianggap agak luar kebiasaan untuk acara beregu lelaki.

“Ya, kami terkejut kerana biasanya beregu lelaki main petang atau malam, tapi kali ini kami jadi yang pertama, jadi saya cuma beritahu Arif bersedia,” kata Roy King.

Pasangan muda ini bagaimanapun menunjukkan ketenangan apabila memulakan aksi dengan corak permainan yang tersusun dan agresif: “Saya rasa strategi kami berkesan dengan baik untuk set pertama, walaupun kami masih cuba menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang dan angin,” tambah Roy King yang mengakui keyakinan mereka semakin meningkat.

Di pusingan kedua, mereka akan bersepan pasangan Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavanukroh yang mendapat ‘bye’ di pusingan pertama.