PEMANGKU Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk V. Subramaniam memberitahu penyiasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap badan induk badminton negara ini masih dijalankan.
Beliau menegaskan bahawa BAM akan terus menunggu perkembangan siasatan tersebut sebelum membuat sebarang komen lanjut.
“Kami telah mengeluarkan kenyataan pendek mengenai siasatan MACC semalam (Selasa), dan itulah dia.
“Kami hanya ingin menjelaskan bahawa kami akan menunggu MACC menjalankan siasatan yang diperlukan.
“Pada masa ini, kami tidak mempunyai apa-apa maklumat tambahan untuk dikongsikan,” kata Subramaniam ketika ditemui media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Rasmi BAM-YONEX pada Rabu.
![](https://www.flashsukan.com.my/wp-content/uploads/2024/12/WhatsApp-Image-2024-12-04-at-15.23.58_652c23e7-2-1000x750.jpg)
Subramaniam berucap ketika Majlis Menandatangani Perjanjian Rasmi BAM-YONEX pada Rabu
Apabila ditanya jika BAM mengetahui sebarang maklumat tentang pihak yang terlibat dalam siasatan, Subramaniam menjawab, mereka tidak mengetahui apa-apa dan tiada apa yang perlu diperkatakan.
“Kami tidak tahu apa-apa dan tidak ada apa-apa yang boleh dikatakan. Kita hanya perlu tunggu dan lihat sahaja,” tambahnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa BAM tidak mempunyai sebarang petunjuk mengenai bila siasatan ini akan selesai.
“Saya tidak mempunyai apa-apa maklumat berkaitan siasatan dan kita hanya boleh bersabar dan tunggu sehingga penyiasatan ini selesai dan selepas itu, barulah kita boleh melihat langkah seterusnya.
“Banyak perkara boleh berlaku atas pelbagai sebab. Saya tidak tahu sebab yang mana satu jadi kita perlu tunggu dan lihat,” tambahnya lagi.
Berhubung persoalan mengenai kemungkinan pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) akan diteruskan seperti dijadualkan, beliau memberikan jawapan yang terbuka.
“Ya, mungkin. Kita telah melihat banyak perkara berlaku dalam hidup, Jadi tiada apa yang mengejutkan saya,” jelasnya.
BAM kini berada dalam fasa menunggu dan berharap proses siasatan dapat diselesaikan secepat mungkin bagi memastikan segala isu dapat diselesaikan dengan adil dan telus.
Dalam masa ini, pihak BAM menyeru semua pihak untuk bersabar dan memberi ruang kepada MACC untuk menjalankan tanggungjawab mereka.