LAMA sangat berehat pun boleh ‘rosakkan rentak’. Itu pandangan jujur perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao yang mengakui kurang selesa dengan tempoh rehat panjang tanpa sebarang kejohanan kompetitif selepas beraksi di Indonesia Masters Mei lalu.
Pemain nombor satu perseorangan negara itu berkata, walaupun masa yang ada digunakan sepenuhnya untuk memperkemas corak permainan, dia tetap gusar jika ‘mood bertanding’ tidak kembali tepat pada waktunya menjelang tiga kejohanan penting di Jepun dan China bulan depan.
“Sekarang ni dah sebulan lebih tak ada kejohanan, jadi saya memang fokus pada latihan dan persiapan fizikal serta taktikal. Tapi tetap ada rasa tak sedap sebab terlalu lama tak ‘masuk court’ kompetitif,” kata Jun Hao.
Namun begitu, pemain berusia 26 tahun itu semakin serasi dengan pendekatan latihan yang dibawa oleh Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen, terutama dalam memahami secara lebih mendalam kehendak permainan semasa dan keperluan taktikal.
“Saya rasa semakin sesuai dengan latihan sekarang. Banyak yang saya pelajari dari coach Kenneth, terutama macam mana nak adaptasi situasi tertentu dalam perlawanan. Saya ambil ini sebagai cabaran dan semangat untuk lebih baik,” katanya.
Mengulas prestasinya bagi separuh pertama musim ini, Jun Hao mengakui masih belum konsisten sepenuhnya kerana sibuk menyesuaikan diri dengan kaedah latihan baharu, namun optimis perubahan positif sudah mula kelihatan dalam permainannya.
“Awal tahun memang kurang baik sikit sebab masa tu masih dalam proses nak sesuaikan diri. Tapi sekarang saya rasa makin faham apa yang saya perlu buat bila masuk tournament nanti,” katanya, lagi.
Untuk rekod, Jun Hao kini berada di ranking ke25 dunia, muncul perseorangan lelaki utama negara selepas memintas Lee Zii Jia (28) yang berehat panjang akibat masalah kecederaan.