PERSATUAN Bola Sepak Perlis (Perlis FA) kini digantung daripada menjadi ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas gagal menyelesaikan tunggakan gaji dan pampasan kontrak bekas Pengarah Bola Sepak mereka, Matt Holland.
Keputusan itu diumumkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali Ke-13, yang dipengerusikan oleh Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin.
Pengerusi Jawatankuasa Pertikaian Dalaman FAM, Saaran Nadarajah, memaklumkan bahawa penggantungan ini terpaksa dibuat selepas Perlis FA gagal mematuhi arahan FIFA sejak 2019 untuk membayar tunggakan bernilai hampir RM998,000 kepada Holland.
“Keputusan ini dibuat kerana Perlis FA tidak melaksanakan arahan FIFA yang dikeluarkan pada 4 Disember 2019. FIFA telah menambah syarat baharu dalam surat bertarikh 11 November 2024, yang mengenakan faedah 5 peratus serta denda tambahan sebanyak AS$15,000 (RM67,000),” jelas Saaran.
Tambahnya, kegagalan Perlis FA turut memberi kesan kepada FAM, yang dikenakan denda AS$15,000 (RM67,000) oleh FIFA sebagai responden kedua dalam kes ini.
FAM juga berdepan risiko pemotongan 20 peratus daripada peruntukan FIFA Forward jika masalah ini tidak diselesaikan segera.
Situasi ini menjadi tamparan hebat kepada bola sepak Perlis, yang sejak beberapa tahun lalu bergelut dengan isu kewangan.
Penggantungan ini juga menjejaskan kredibiliti persatuan tersebut di mata peminat bola sepak negara, dengan kegagalan melunaskan tunggakan ini mencerminkan kelemahan dalam pengurusan.
Langkah tegas FAM ini menegaskan pendirian badan induk itu terhadap kepatuhan kewangan ahli gabungannya, selari dengan usaha memperbaiki integriti bola sepak negara.