PENGENDALI Perak FC, Yusri Che Lah melahirkan rasa syukur selepas pasukannya berjaya meraih satu mata berharga dalam pertembungan Liga Super Malaysia menentang Kuching City FC.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Negeri Kuching menyaksikan Perak FC terpaksa bekerja keras untuk mengekang asakan pasukan tuan rumah.
“Pertama sekali, syukur Alhamdulillah ke hadrat Allah SWT kerana memberikan kami mata yang amat berharga. Misi kami ke sini adalah untuk tidak tewas kepada Kuching City, memandangkan mereka masih memiliki tiga perlawanan dalam tangan.
“Walaupun kami berusaha untuk meraih kemenangan, keputusan seri ini tetap sesuatu yang kami syukuri,” kata Yusri selepas perlawanan.
Menurut beliau, pemain-pemain Perak FC mempamerkan disiplin tinggi sepanjang perlawanan walaupun sering diasak oleh pihak lawan.
Dalam beberapa kesempatan, Perak FC berjaya melancarkan serangan yang hampir membuahkan hasil, namun keputusan seri tetap dianggap lebih baik untuk pasukan pada malam tersebut.
“Saya amat menghargai pengorbanan para pemain yang bertungkus-lumus dalam perlawanan ini. Ia bukan tugas mudah beraksi di padang yang agak berat seperti di Kuching, terutama apabila kita melihat dari awal permainan.
“Dari Haziq (Nadzli) sehingga ke setiap pemain, mereka menunjukkan komitmen tinggi dalam bertahan sebagai satu pasukan yang lengkap. Yang paling penting, mereka tidak hilang fokus,” tambahnya.
Keputusan itu menyaksikan The Bos Gaurus kekal menghuni tangga kelima Liga Super dengan 23 mata disusuli Kuching City FC di tangga keenam dengan 22 mata.
FOTO : PERAK FC