PERAK FC mempamerkan aksi penuh semangat apabila berjaya bangkit dari ketinggalan untuk mencatat keputusan seri 3-3 menentang Penang FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya pada Ahad.
Keputusan ini dianggap sebagai satu pencapaian penting buat skuad kendalian Yusri Che Lah yang berdepan cabaran besar akibat kekurangan pemain utama.
Menurut Yusri, dia bersyukur kerana pasukan masih mampu memberikan saingan meskipun turun dengan skuad yang serba kekurangan.
“Syukur Alhamdulillah, masih ada harapan buat saya dan para pemain dan kalau tengok kehadiran kami ke sini, skuad memang amat tidak mencukupi.
“Clayton beraksi dalam keadaan cedera, tiga lagi pemain import tidak bersama, malah ada yang mengalami kecederaan serius.
“Kita juga terpaksa menurunkan dua pemain bawah 22 tahun di penghujung perlawanan kerana tiada pilihan lain untuk membuat penggiliran.
“Tapi itu bukan alasan dan agak malang di separuh masa pertama, kita memberikan ruang besar kepada Penang terutamanya dengan serangan balas mereka yang laju, hingga menyebabkan kita ketinggalan. Namun, Alhamdulillah, perubahan taktikal membuahkan hasil yang cukup besar,” katanya.

Perak FC berjaya bangkit dari ketinggalan untuk mencatat keputusan seri 3-3 menentang Penang FC dalam perlawanan Liga Super.
Jurulatih asal Kangar, Perlis turut memuji impak perubahan taktikal yang dilakukannya, termasuk menempatkan Tommy Mawat di posisi kanan tengah, satu langkah yang belum pernah dicuba sebelum ini.
“Tommy tidak pernah saya cuba di posisi itu, tetapi keputusan ini terpaksa dibuat dan Alhamdulillah, ia berjaya dan pemain menunjukkan kebangkitan luar biasa.
“Kami hampir memenangi perlawanan, dan dengan peluang yang dicipta, saya rasa kita sepatutnya pulang dengan tiga mata,” tambahnya.
Mengulas tentang kehadiran pemain muda daripada skuad Presiden, Yusri menjelaskan bahawa keadaan semasa memaksanya menggunakan pemain bawah 23 dan bawah 20 tahun untuk melengkapkan skuad.
“Saya hanya ada 18 atau 19 pemain dalam skuad Liga Super sekarang, itu pun selepas keluarnya beberapa pemain utama.
“Pemain muda seperti Fadhil Azmi, yang pertama kali diturunkan sebagai bek kanan malam ini, dan Faris Izdiham, yang juga membuat penampilan pertama musim ini, terpaksa diberi peluang.
“Namun, kami perlu berhati-hati untuk tidak menurunkan semua pemain muda dalam satu perlawanan, terutamanya apabila menghadapi pasukan besar.
“Dalam situasi sekarang, keputusan semasa sangat penting, dan kami masih berada di landasan yang tepat untuk kekal di pertengahan liga tanpa kehilangan terlalu banyak mata,” jelas Yusri.
Selepas keputusan seri ini, Perak FC akan menghadapi perlawanan seterusnya menentang Kelantan Darul Naim FC pada 26 Januari di Stadium Manjung, Perak.
Walaupun cabaran kekurangan pemain terus membayangi skuad, Yusri optimis bahawa pasukannya akan mampu memberikan saingan terbaik untuk kekal kompetitif dalam saingan Liga Super musim ini.