PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung peningkatan peruntukan untuk pembangunan bola sepak Malaysia, khususnya skuad kebangsaan Harimau Malaya.
Penambahan dana ini diumumkan sebagai kesinambungan daripada Belanjawan 2025 dan dijangka memberikan impak besar kepada perjalanan bola sepak negara.
Menurut Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin, peruntukan tambahan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkasakan program pembangunan bola sepak di semua peringkat. Antara fokus utama adalah persiapan skuad utama Harimau Malaya untuk lebih kompetitif dalam kejohanan antarabangsa yang akan datang.
“Dana ini akan digunakan untuk memastikan pemain mendapat sokongan terbaik daripada tenaga pakar yang dilantik. Aspek pengurusan organisasi juga akan diperkukuhkan untuk memacu perubahan yang diperlukan dalam memastikan kejayaan berterusan skuad kebangsaan,” kata beliau.
FAM yakin bahawa suntikan dana ini bukan sahaja akan membantu meningkatkan kualiti latihan dan pembangunan pemain, malah turut menyuntik semangat baharu kepada skuad Harimau Malaya.

Peruntukan sebanyak RM30 juta kini diperuntukkan kepada skuad Harimau Malaya
Dalam pada itu, Hamidin turut merakamkan penghargaan kepada Pemangku Sultan Johor, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, atas sokongan dan keprihatinan baginda terhadap usaha-usaha memperkasakan skuad kebangsaan.
“Junjung kasih juga kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang sentiasa prihatin serta memberikan sokongan dan bantuan kepada FAM dalam usaha kita meningkatkan lagi prestasi skuad Harimau Malaya,” tambahnya.
Dengan langkah ini, FAM optimis dapat merencana lebih banyak program strategik bagi memperkukuh kedudukan Harimau Malaya di pentas bola sepak dunia, sekali gus membawa lebih banyak kejayaan yang membanggakan rakyat Malaysia.