DOMINASI Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam liga berterusan apabila mencatat kemenangan ke-11 dari 11 perlawanan dengan kali ini menjadikan Kuching City FC mangsa terbaharu dengan keputusan 4-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri, Kuching.
Dua gol daripada Fernando Forestieri dan masing-masing satu daripada Bergson Da Silva dan Juan Muniz sudah cukup memberikan tiga mata penuh buat Harimau Selatan dan kekalahan ke-10 berturut-turut buat Kuching City FC.
Forestieri hanya memerlukan tiga minit untuk meletakkan JDT di hadapan apabila menyempurnakan hantaran dari Jordi Amat dan Leandro Velasquez untuk gol ke-11 peribadinya musim ini.
LIGA SUPER 2023
FT: Kuching City FC 0-4 Johor Darul Ta'zim
⚽ Fernando Forestieri 4', 36', Bergson 70', Juan Muniz 73'#LigaSuper2023#KuchingCityFC#LuaskanKuasamuJohor pic.twitter.com/wH5p2G43DH
— Flash Sukan (@FlashSukan) May 19, 2023
JDT menambah gol kedua juga menerusi Forestieri yang mudah menolak masuk hasil sepakan percuma untuk menjadikan kedudukan 2-0 menjelang tamat separuh masa pertama.
Kuching City menggandakan asakan dengan bermain lebih terbuka dan hampir mengejutkan JDT namun ketumpulan serangan dan ketangkasan Syihan Hazmi memastikan gawang JDT masih kebal dari sebarang gol dari permainan terbuka.
Ketika ghairah mengasak, gawang Kuching City bocor sekali lagi kali ini menerusi ayam tambatan JDT, Bergson Da Silva yang hasil serangan balas yang menarik untuk meletakkan Harimau Selatan semakin selesa dihadapan dengan tiga gol.
Berselang tiga minit, pemain yang dibawa masuk, Juan Muniz sekali lagi menjaringkan gol yang menarik apabila rembatannya dari luar petak penalti menerjah gawang Kuching City untuk memberikan gol keempat buat JDT sekaligus membawa pulang tiga mata ke Iskandar Puteri.
Kemenangan ini mengukuhkan lagi kedudukan JDT di persada liga dengan 33 mata manakala Kuching City kekal di tangga ke-12 dengan empat mata hasil satu kemenangan dan satu keputusan seri selepas berakhir 11 perlawanan.