KETUA jurulatih Kuala Lumpur City FC (KL City), Miroslav Kuljanac, mengakui jadual padat dan kecederaan pemain menjadi cabaran besar buat pasukannya selepas tumbang 1-0 kepada Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium MPBJ pada Ahad.
Kekalahan itu menyaksikan KL City gagal mengutip mata, namun Kuljanac tetap memuji usaha anak buahnya yang beraksi bersungguh-sungguh walaupun berdepan situasi sukar.
“Pertama sekali, tahniah kepada kedua-dua pasukan. Ia adalah perlawanan yang sangat menarik. Kami telah memberikan yang terbaik dalam keadaan ini. Separuh masa pertama, kami cuba bertahan kerana baru sahaja bermain satu perlawanan yang sangat berat tiga hari lepas.
“Pada separuh masa kedua, kami mencipta beberapa peluang ketika ketinggalan, tetapi malangnya, kami tidak dapat menjaringkan gol,” kata Kuljanac dalam sidang media selepas perlawanan.
Beliau turut meluahkan sedikit kekecewaan kerana merasakan pasukannya layak membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata berdasarkan situasi permainan.
Menurut Kuljanac, KL City kini berdepan cabaran besar kerana terpaksa mengharungi jadual yang sangat mencabar.
“Kami bermain perlawanan yang sangat sukar secara berturut-turut.
“Dari Kedah, Negeri Sembilan, Lions City Sailors, Johor Darul Ta’zim (JDT), kini Selangor, dan selepas ini kami akan menentang Cong An Hanoi FC (Vietnam). Semua pasukan ini adalah kelab-kelab besar,” jelasnya.
Tambahnya, kecederaan pemain dan kehilangan beberapa tonggak utama turut memberi kesan terhadap prestasi pasukan.
“Anwar Ibrahim kini terpaksa diketepikan, manakala Brendan Gan masih dalam proses pemulihan. Declan Lambert juga tidak dapat bermain hari ini kerana digantung perlawanan.
“Kami kehilangan ramai pemain sama ada kerana cedera, menjalani pemulihan yang tidak sempurna, atau terpaksa menyertai skuad kebangsaan,” katanya.
Kuljanac turut menyuarakan harapan agar pasukannya dapat kembali dengan kekuatan penuh menjelang perlawanan penting menentang Cong An Hanoi FC pada 23 Januari.
“Kami berharap semua pemain pulih tepat pada masanya kerana kami tiada pilihan pemain yang banyak seperti pasukan Selangor, Lions City Sailors, atau JDT,” ujarnya.
Walaupun berdepan cabaran besar, Kuljanac tetap optimis dan bertekad untuk mempersiapkan pasukan sebaik mungkin bagi menghadapi perlawanan seterusnya. Beliau juga memuji kesungguhan pemainnya seperti Jovan Motika yang tampil bermain walaupun tanpa latihan penuh.
“Jovan bermain selama 30 minit hari ini tanpa sebarang latihan penuh. Saya sebenarnya risau dengan risiko kecederaan, tetapi saya hargai semangatnya untuk turun membantu pasukan.
“Bagi perlawanan di Vietnam nanti, kami akan cuba sedaya upaya untuk mendapatkan keputusan positif,” kata Kuljanac.
Dengan cabaran besar menanti KL City, penyokong pasukan The City Boys pasti berharap agar pasukan kesayangan mereka mampu bangkit dan mempamerkan aksi terbaik dalam saingan seterusnya, terutama di pentas antarabangsa.