ATLET sepak takraw negara, Zuhri Muhammad Zain membuktikan kecemerlangan tidak hanya terbatas di gelanggang apabila berjaya menamatkan pengajian dengan ijazah kelas pertama dalam bidang Sarjana Muda Pengurusan Sukan (Kepujian) di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Graduan berusia 24 tahun itu, yang juga tonggak Selangor Pistons sejak 2023, menyifatkan pencapaian tersebut sebagai hadiah buat ibu bapa, jurulatih serta rakan sepasukan yang sentiasa memberi sokongan sepanjang perjalanan akademik dan kariernya. Katanya, disiplin serta semangat juang yang sama digilap di gelanggang turut menjadi kunci kejayaan di dewan kuliah.

“Ia bukti bahawa atlet juga mampu cemerlang dalam pelajaran, bukan sekadar di lapangan sukan,” ujar Zuhri selepas Istiadat Konvokesyen Ke-102 UiTM Shah Alam, hari ini.

Zuhri berjaya menamatkan pengajian dengan ijazah kelas pertama dalam bidang Sarjana Muda Pengurusan Sukan (Kepujian) di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Sepanjang pengajian, Zuhri berdepan jadual padat apabila terpaksa membahagikan masa antara latihan, tugasan akademik serta komitmen bersama skuad kebangsaan. Beliau pernah mewakili negara di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 dan membantu pasukan meraih gelaran juara.

Dengan kejayaan itu, Zuhri kini berhasrat untuk terus mengimbangi kerjaya sebagai atlet kebangsaan sambil merancang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Kisah Zuhri sekali lagi menjadi inspirasi bahawa atlet negara mampu menyerlah dalam dua dunia – kecemerlangan sukan dan kecemerlangan akademik.